Tangkap layar guna nama Ketua Pesuruhjaya, logo SPRM palsu

PUTRAJAYA - Tangkap layar yang tular di media sosial menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama logo dan imej rasmi agensi itu adalah palsu.
Perkara itu telah disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan di media sosial.
Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan kandungan berkenaan kerana ia merupakan berita palsu.
Katanya, penyebaran tangkap layar yang menggunakan identiti rasmi SPRM berpotensi mengelirukan masyarakat.
"Awas: Jangan mudah percaya kandungan palsu.
"Penyebaran tangkap layar di media sosial yang menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya dan logo serta imej SPRM seperti ini adalah palsu, berwaspada, hentikan penyebaran berita palsu," menurut hantaran pada Jumaat.
SPRM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui saluran rasmi sebelum berkongsi atau mempercayainya bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

