‘Cadang kerja dulu kumpul duit’ – Pelajar hampir tolak tawaran masuk universiti

BAGAN SERAI – “Saya cuma mampu bayar RM400 untuk yuran pendaftaran. Sebab tu saya cadang nak kerja dulu kumpul duit."
Itu luahan Nurul Amira Abdul Hamid, 18, yang hampir menolak tawaran melanjutkan pengajian ke universiti akibat kekangan kewangan.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kurau itu menerima tawaran mengikuti Program Pusat Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) selama setahun di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebelum meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim).
Bagaimanapun kesempitan hidup menyebabkan anak bongsu daripada tiga beradik ini membuat keputusan untuk mencari pekerjaan bagi mengumpul wang sebelum menyambung pengajian di tempat lain.
"Memang seronok bila dapat tawaran ke UMT sebab pengajian itu adalah pilihan pertama saya. Cuma tempatnya terlalu jauh dan tak ada orang yang dapat hantar saya ke sana.

"Kos untuk ke sana juga tinggi. Yuran pengajian untuk program asasi sahaja RM1,449, sedangkan saya baru mampu bayar RM400,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Parit Jawa di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Nurul Amira menerima kunjungan deligasi UMT diketuai Naib Canselor, Profesor Mohd Zamri Ibrahim yang hadir menyerahkan bantuan termasuk kewangan bagi meringankan beban yuran pengajiannya.
Nurul Amira berkata, dia sebelum ini bekerja di sebuah kedai barangan dengan gaji RM1,300 sebulan bagi membantu meringankan beban keluarga.
Kata beliau, bapanya, Abdul Hamid Othman, 58, sudah tidak mampu bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan manakala ibunya, Asmah Che Ros, 53, suri rumah sepenuh masa.
"Saya ada juga mohon politeknik di Alor Setar sebagai ‘backup’. Sebab itu saya cadang nak kerja, kumpul duit, kemudian sambung belajar di sana kerana kosnya lebih rendah dan lebih dekat dengan rumah," katanya.
Sementara itu, Mohd Zamri berkata, pihaknya telah mendapatkan bantuan sara hidup sepanjang tempoh pengajian bagi memastikan Nurul Amira dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran.
Tambah beliau, pihak universiti turut mengambil inisiatif membawa Nurul Amira terus ke kampus menggunakan kenderaan rasmi untuk melengkapkan urusan pendaftaran dan penempatan di kolej kediaman.
"Pelajar yang berdepan kekangan kewangan tidak perlu menangguhkan hasrat menyambung pengajian. Datang dahulu ke universiti. Soal bantuan kewangan akan kita uruskan melalui pelbagai skim bantuan yang disediakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

