Keamanan kawasan sempadan mesti jadi kenyataan - PM Thailand

BUKIT KAYU HITAM – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menegaskan keamanan di kawasan sempadan selatan negara itu tidak boleh sekadar menjadi harapan, sebaliknya mesti direalisasikan menerusi komitmen bersama kedua-dua kerajaan.
Beliau berkata, usaha mewujudkan keamanan menjadi antara agenda utama yang dipersetujui dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi delegasi Thailand ke Malaysia.
Menurutnya, walaupun banyak perkara berjaya dipersetujui dalam pertemuan tersebut, keamanan masih menjadi matlamat penting yang perlu diterjemahkan melalui tindakan.
"Hanya satu perkara yang masih perlu direalisasikan iaitu keamanan.
"Dalam perbincangan tertutup, kami berikrar bahawa kedua-dua pentadbiran akan berusaha sedaya upaya untuk mewujudkan keamanan di kawasan sempadan antara negara kita sepanjang tempoh pentadbiran ini.
"Kita tidak boleh sekadar mengatakan ia mungkin boleh dicapai, sebaliknya kita mesti memastikan ia menjadi kenyataan," katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Jajaran Laluan Baharu yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada Jumaat.
Anutin berkata, pembukaan laluan baharu hasil kerjasama erat Malaysia dan Thailand itu bukan sahaja memudahkan perjalanan rentas sempadan, malah turut mempercepatkan pergerakan barangan dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk utama kedua-dua negara.
Dalam pada itu beliau berkata, kedua-dua kerajaan turut membincangkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh hubungan antara wilayah sempadan termasuk Songkhla dengan Kedah, Satun dengan Perlis serta Narathiwat dengan Kelantan.
Menurutnya, hubungan yang lebih erat itu diyakini mampu membuka potensi besar kepada pembangunan ekonomi di selatan Thailand dan utara Semenanjung Malaysia.
"Seiring kemajuan projek-projek hubungan ini, kita juga akan memperkukuh kerjasama bagi merangsang ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan sempadan," ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua negara turut mencapai persefahaman dalam beberapa isu yang berlarutan sejak sekian lama termasuk sektor perikanan apabila menteri berkaitan berjaya mencapai persetujuan bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

