Hub Recharge Rider bukti MyGig Johor serius bela komuniti ekonomi gig

JOHOR BAHRU – Perasmian Hub Recharge Rider di Pusat Komuniti Kempas pada Jumaat menjadi simbol komitmen Majlis Ekonomi Gig Johor (MyGig Johor) dalam memperkasakan kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan komuniti e-hailing serta p-hailing di negeri ini.
Pengerusi MyGig Johor, Datuk Wira Sheikh Ahmad Nafiq Alfirdaous berkata, penubuhan hab tersebut bukan sekadar menyediakan kemudahan kepada para penghantar dan pemandu, malah menjadi titik permulaan kepada pembinaan ekosistem ekonomi gig yang lebih tersusun, inklusif dan mampan.
Menurut beliau, komuniti gig hari ini memainkan peranan besar dalam menggerakkan ekonomi negeri, justeru mereka berhak menikmati kemudahan, sokongan dan peluang pembangunan yang lebih baik.
"Hub Recharge Rider ini bukan sekadar sebuah ruang fizikal untuk berehat, tetapi menjadi lambang penghargaan kepada seluruh komuniti gig yang setiap hari bekerja keras memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
"Kita mahu setiap rider dan pemandu merasakan mereka mempunyai sebuah komuniti yang sentiasa bersedia membantu, membimbing dan memperjuangkan kebajikan mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hub Recharge Rider di Pusat Komuniti Kempas di sini pada Jumaat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan turut dihadir Pengerusi My Gig, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin.

Beliau berkata, MyGig Johor akan menjadikan hab berkenaan sebagai pusat aktiviti komuniti yang menghimpunkan pelbagai program pembangunan termasuk latihan peningkatan kemahiran, sesi libat urus bersama agensi kerajaan dan pemain industri, program kebajikan serta perkongsian ilmu berkaitan keselamatan dan profesionalisme.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan komuniti ekonomi gig bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan, malah memiliki daya saing dan kemahiran yang selari dengan perkembangan industri.
"Kita mahu komuniti gig di Johor terus berkembang sebagai tenaga kerja profesional yang diyakini pengguna serta dihormati oleh semua pihak.
"Apabila kita melabur kepada pembangunan insan, manfaatnya bukan sahaja dirasai rider, malah turut meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan dan memperkukuhkan industri secara keseluruhannya," ujarnya.
Dalam pada itu, Sheikh Ahmad Nafiq berkata, MyGig Johor akan terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti gig dengan kerajaan, agensi berkaitan serta syarikat platform digital bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan berkenaan.

Katanya, kerjasama strategik antara semua pihak amat penting dalam memastikan isu kebajikan, perlindungan sosial, keselamatan dan pembangunan kerjaya komuniti gig dapat ditangani secara lebih berkesan.
"MyGig Johor akan terus membawa suara komuniti gig supaya setiap cabaran yang dihadapi dapat diselesaikan melalui pendekatan yang konstruktif dan berpandangan jauh.
"Kita tidak mahu komuniti gig hanya dilihat sebagai pelengkap ekonomi, sebaliknya mereka perlu diiktiraf sebagai antara pemacu penting pembangunan ekonomi Johor," katanya.
Beliau turut menyifatkan pembukaan Hub Recharge Rider sebagai permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif di seluruh Johor dalam usaha membina jaringan sokongan yang lebih menyeluruh kepada komuniti e-hailing dan p-hailing.
"Ini hanyalah langkah pertama. Insya-Allah,
MyGig Johor akan terus memperluaskan pelbagai program yang memberi impak nyata kepada komuniti gig agar mereka dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih sejahtera, selamat dan berdaya saing.
"Kita mahu Johor muncul sebagai negeri contoh dalam membangunkan ekosistem ekonomi gig yang moden, progresif dan sentiasa mengutamakan kebajikan komuniti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

