Dapur Siswa MADANI bukti komitmen KPT terhadap kebajikan mahasiswa

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Tan Sri Dr Mazlan Yusoff dan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, memantau proses pembungkusan produk Dapur Siswa MADANI@UUM di UUM pada 11 April 2026.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Tan Sri Dr Mazlan Yusoff dan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, memantau proses pembungkusan produk Dapur Siswa MADANI@UUM di UUM pada 11 April 2026.
A
A
A

SABTU lalu telah berlangsung Pelancaran Dapur Siswa MADANI @ UUM dan Dapur Siswa MADANI @ UniMAP yang merupakan satu lagi bukti jelas bahawa kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan universiti.

Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan makanan pada harga berpatutan, malah membawa satu perubahan besar dalam cara kebajikan mahasiswa diuruskan.

Sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), saya melihat pelaksanaan Dapur Siswa MADANI @ UUM sebagai antara inisiatif terbaik yang pernah diperkenalkan untuk membantu mahasiswa menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ketika ramai pelajar berdepan cabaran kewangan, peningkatan harga makanan dan kos harian, kehadiran Dapur Siswa MADANI memberi kelegaan yang amat besar.

Mahasiswa hari ini memerlukan lebih daripada sekadar ruang kuliah dan kemudahan akademik. Mereka memerlukan jaminan bahawa keperluan asas seperti makanan dapat dipenuhi dengan baik supaya mereka mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.

Apabila soal kebajikan ditangani secara berkesan, mahasiswa akan lebih tenang, lebih fokus dan lebih yakin untuk mencapai kecemerlangan.

Dr Azlinda diberikan penjelasan mengenai fungsi mesin “continuous band sealer” bagi meningkatkan kebersihan dan jangka hayat produk Dapur Siswa MADANI@UUM sambil disaksikan Dr Mazlan dan Dr Ahmad Martadha.
Dr Azlinda diberikan penjelasan mengenai fungsi mesin “continuous band sealer” bagi meningkatkan kebersihan dan jangka hayat produk Dapur Siswa MADANI@UUM sambil disaksikan Dr Mazlan dan Dr Ahmad Martadha.

Atas sebab itu, kami amat menghargai komitmen Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang terus meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai agenda utama kementerian.

Artikel Berkaitan:

Beliau bukan sahaja memperkenalkan gagasan Dapur Siswa MADANI di seluruh negara, malah memastikan ia dilaksanakan dengan serius dan berimpak tinggi di kampus-kampus universiti awam.

Kejayaan Dapur Siswa MADANI @ UUM juga tidak dapat dipisahkan daripada peranan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Prof Datuk Dr Azlinda Azman, yang sentiasa turun padang dan memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang benar-benar memberi manfaat kepada mahasiswa.

Kesudian beliau untuk meluangkan masa hadir sendiri ke UUM dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk merasmikan pelaksanaan inisiatif ini di samping meninjau setiap satu aspek pelaksanaan program ini Sabtu lalu memberi mesej jelas bahawa KPT sentiasa bersama mahasiswa.

Sumbangan sebanyak RM1.2 juta yang disalurkan oleh KPT kepada Dapur Siswa MADANI @ UUM khasnya merupakan satu pelaburan yang amat besar dan bermakna.

Ia menunjukkan bahawa kementerian bukan sekadar mengumumkan dasar, tetapi benar-benar menyediakan sumber dan sokongan bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Dr Azlinda menyampaikan cek fasa pertama berjumlah RM323,953.36 bagi memulakan pelaksanaan Dapur Siswa MADANI@UUM.
Dr Azlinda menyampaikan cek fasa pertama berjumlah RM323,953.36 bagi memulakan pelaksanaan Dapur Siswa MADANI@UUM.

Komitmen ini sebenarnya selari dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan MADANI Keempat 2026 pada 10 Oktober 2025.

Dalam belanjawan tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi menerima peruntukan sebanyak RM18.6 bilion, dengan lebih RM400 juta diperuntukkan untuk menyelenggara prasarana dan mengganti peralatan usang di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Lebih penting, kerajaan telah memperuntukkan RM26 juta khusus bagi pelaksanaan Ikhtiar Dapur MADANI KPT supaya mahasiswa dibekalkan dengan peralatan memasak dan bahan mentah.

Dapur MADANI juga diperluaskan melalui bantuan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan menerusi sumbangan CSR sektor swasta.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta bagi Program MySiswa Job On Campus, iaitu peluang pekerjaan sambilan di dalam kampus untuk mahasiswa.

Langkah ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja membantu mahasiswa memperoleh pendapatan tambahan, malah melatih mereka dengan kemahiran keusahawanan, pengurusan dan disiplin kerja yang amat berguna selepas bergraduasi.

Apa yang lebih membanggakan, pada awal tahun 2026 Perdana Menteri sekali lagi menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa apabila mengumumkan tambahan RM15 juta kepada Bank Makanan dan Dapur Siswa MADANI hasil rayuan Menteri Pendidikan Tinggi.

Dr Azlinda dan Dr Ahmad Martadha menerima beberapa sumbangan wakaf untuk program Dapur Siswa MADANI@UUM dari Pengurus Public Bank Cawangan Changlun, Baharin Basir.
Dr Azlinda dan Dr Ahmad Martadha menerima beberapa sumbangan wakaf untuk program Dapur Siswa MADANI@UUM dari Pengurus Public Bank Cawangan Changlun, Baharin Basir.

Dalam Amanat Tahun Baharu 2026 pada 5 Januari lalu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa daripada RM150 juta baki peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tidak digunakan, sebanyak RM15 juta disalurkan kepada Dapur Siswa supaya lebih ramai mahasiswa yang memerlukan dapat dibantu.

Keputusan ini amat wajar dipuji kerana ia membuktikan bahawa kerajaan benar-benar mendengar denyut nadi mahasiswa. Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa beliau tidak mahu lagi mendengar ada pelajar yang kelaparan, tidak mempunyai wang untuk membeli makanan atau terpaksa mengikat perut semata-mata untuk meneruskan pengajian. Prinsip inilah yang menjadi asas kepada pelaksanaan Dapur Siswa MADANI di seluruh negara, termasuk di UUM.

Apa yang menjadikan Dapur Siswa MADANI @ UUM lebih istimewa ialah pendekatan inovatif yang digunakan. UUM merupakan antara universiti awam terawal yang memperkenalkan penggunaan teknologi makanan retort dalam sistem Dapur Siswa.

Teknologi ini membolehkan makanan disediakan secara pukal, disterilkan dengan standard keselamatan yang tinggi, dan disimpan antara enam hingga dua belas bulan tanpa menggunakan bahan pengawet.

Pendekatan ini amat baik kerana ia bukan sahaja menjamin kualiti dan keselamatan makanan, malah membolehkan makanan diagihkan dengan lebih pantas dan efisien kepada mahasiswa di kolej-kolej kediaman. Dengan sistem ini, pelajar tidak lagi perlu menunggu lama atau berdepan masalah bekalan makanan yang tidak mencukupi.

Melalui konsep “hub and spoke”, dapur utama akan menjadi pusat penyediaan makanan manakala dapur satelit di setiap INASIS berfungsi sebagai pusat penyimpanan, pemanasan semula dan agihan kepada mahasiswa. Sistem ini sangat praktikal kerana ia memudahkan pelajar mendapatkan makanan dengan cepat berhampiran tempat tinggal mereka.

Konsep “Grab, Reheat and Eat” yang diperkenalkan di Dapur Satelit MADANI UUM juga amat mesra mahasiswa. Pelajar hanya perlu mengambil makanan, memanaskannya semula dan menikmati makanan tersebut di ruang yang disediakan.

Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah lebih fleksibel mengikut jadual harian mahasiswa yang padat dengan kuliah, tugasan dan aktiviti kampus.

Lebih penting, Dapur Siswa MADANI @ UUM bukan sekadar program kebajikan, tetapi turut menjadi platform pembangunan ekonomi dan kemahiran mahasiswa.

Inisiatif ini membuka peluang pekerjaan On-Campus Job kepada pelajar dalam pelbagai aspek seperti operasi dapur, logistik, inventori, pentadbiran, pengurusan data dan perkhidmatan pelanggan.

Melalui penglibatan ini, mahasiswa bukan sahaja memperoleh pendapatan tambahan untuk menampung kos sara hidup, malah berpeluang mempelajari kemahiran sebenar yang sangat berguna apabila memasuki alam pekerjaan.

Mereka didedahkan kepada pengurusan operasi, kawalan inventori, standard keselamatan makanan, komunikasi pelanggan dan kerja berpasukan.

Saya percaya inilah nilai sebenar Dapur Siswa MADANI. Ia bukan hanya mengenyangkan perut mahasiswa, tetapi turut membentuk mereka menjadi individu yang lebih berdikari, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Kebajikan mahasiswa tidak seharusnya dilihat sebagai satu kos semata-mata. Sebaliknya, ia adalah satu pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara.

Apabila mahasiswa dibantu dengan baik, negara akan memperoleh graduan yang lebih berkualiti, lebih berkeyakinan dan lebih berkemampuan untuk menyumbang kepada masyarakat.

Atas sebab itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Ketua Pengarah JPT serta pihak pengurusan UUM yang telah bersama-sama menjayakan pelaksanaan Dapur Siswa MADANI @ UUM.

Semoga inisiatif ini terus diperkasa dan dijadikan model terbaik untuk dicontohi oleh universiti-universiti lain di seluruh negara.

*** Muhammad Syahmi Iman bin Muhammad Rezal ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!