Ahmad Fadhli cabar Ahli Parlimen Kampar berdebat isu tanah Orang Asli, moral di Kelantan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berdebat berhubung isu pencerobohan tanah Orang Asli serta jenayah seksual kanak-kanak dan HIV di Kelantan.
Beliau berkata, cabaran itu dibuat selepas tidak diberi peluang untuk bangun menjawab kenyataan Ahli Parlimen Kampar ketika isu berkenaan dibahaskan di Dewan Rakyat.
"Saya cabar Ahli Parlimen Kampar untuk berdebat di luar Parlimen dalam mana-mana platform khususnya dalam tajuk isu-isu hak asasi dan moral di Kelantan sebagaimana yang beliau nyatakan di dalam Dewan tadi.
"Apabila saya bangun, tidak memberikan laluan kepada saya untuk respon. Saya minta mana-mana platform seperti Astro Awani atau Sinar Harian mengatur ruang debat dengan Ahli Parlimen Kampar khusus isu ini sahaja.
"Jangan nak lari sebagaimana saya sebut dalam Dewan tadi, kalau cabaran ini tidak disahut, bermakna anda seorang pengecut," katanya menerusi hantaran video di akaun miliknya pada Rabu.
Ketua Penerangan Pas itu berkata, kedua-dua isu yang dibangkitkan itu tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk menyerang atau memburukkan sesebuah negeri, sebaliknya perbahasan perlu tertumpu kepada isu dasar dan penyelesaian.
"Peliknya dengan perangai sebahagian Ahli-Ahli Parlimen daripada DAP, apabila ada isu sikit sentuh kelantan sedangkan perbahasan tidak perlu sampai menghina mana-mana negeri.
"Isu moral dan akhlak ini merupakan masalah kita bersama. Tidak perlu hendak memilih atau memperlekehkan mana-mana negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
