Penggembala lembu nyaris maut, tangan digigit singa 30 minit

NEW DELHI – Seorang penggembala lembu di Gujarat, India, terselamat daripada detik cemas selepas seekor singa Asia menyerangnya dari belakang sebelum menggigit tangannya hampir 30 minit.
Kalubhai Boghabhai Parmar yang dirawat di hospital, menceritakan detik ngeri itu selepas rakaman video usaha penduduk kampung menyelamatkannya daripada serangan haiwan berkenaan tular di media sosial.
Menurut Parmar, kejadian berlaku pada pagi 6 Julai lalu di kampung Garajiya, daerah Bhavnagar, ketika dia pergi memberi makan lembunya.
“Ia menyerang saya dari belakang, menjatuhkan saya ke tanah dan memegang tangan saya dengan rahangnya hampir setengah jam,” katanya.
Parmar berkata, dia cuba mempertahankan diri dengan mencakar singa tersebut sehingga haiwan itu melonggarkan gigitannya sebelum dia berjaya menarik tangannya keluar namun selepas itu, singa berkenaan beralih menyerang lembunya.
Saksi berkata, singa tersebut menekan Parmar ke tanah dengan menggunakan kakinya sambil menggigit tangan mangsa. Ahli keluarga dan penduduk kampung yang menyaksikan kejadian cuba menghalau haiwan itu dengan menjerit, membaling batu serta menggunakan kayu, namun singa berkenaan tidak berganjak hampir setengah jam.
Menurut saksi, Parmar kekal tenang sepanjang serangan dan mengelakkan pergerakan mengejut yang mungkin menyebabkan haiwan itu menjadi lebih agresif. Ada antara penduduk mendakwa mangsa turut mengusap singa itu dalam usaha menenangkannya sebelum haiwan berkenaan akhirnya melepaskan mangsa dan beredar.
Parmar kemudian dibawa ke Hospital Kerajaan Palitana sebelum dipindahkan ke Bhavnagar untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam proses pemulihan.
Keluarga mangsa mendakwa Jabatan Perhutanan telah dimaklumkan mengenai kehadiran singa di kawasan kampung, namun pegawai tidak tiba sebelum serangan berlaku. Anak saudara Parmar, Munnabhai Vashrambhai Gamara mendakwa, tindakan pantas pihak berkuasa mungkin dapat mengelakkan kejadian itu dan menggesa sistem tindak balas kecemasan dipertingkatkan.
Insiden itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan konflik antara manusia dan singa Asia di wilayah Gujarat, khususnya kawasan sekitar Gir National Park yang menjadi habitat utama spesies berkenaan.
Menurut laporan tempatan, kejadian itu merupakan serangan singa keempat terhadap manusia dalam tempoh 20 hari, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai pergerakan singa yang semakin kerap memasuki kawasan penempatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

