Sinergi Batik Air, IJN perkasa pelancongan perubatan

Bermula dua dari kiri; Dr Mohamed Ezani, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim dan Chandran selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Batik Air dan IJN pada Khamis.
Bermula dua dari kiri; Dr Mohamed Ezani, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim dan Chandran selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Batik Air dan IJN pada Khamis.
A
A
A

BATIK Air Malaysia dan Institut Jantung Negara (IJN), dengan sokongan Tourism Malaysia, menjalin kerjasama strategik yang menggabungkan rangkaian penerbangan, perkhidmatan penjagaan jantung bertaraf dunia serta usaha mempromosikan pelancongan kesihatan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, Malaysia merekodkan kira-kira 1.85 juta pelancong kesihatan pada tahun 2025, sekali gus menjana hasil sekitar RM3.35 bilion.

Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan keyakinan tinggi terhadap ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia serta keupayaannya menyokong pesakit yang mendapatkan rawatan merentas sempadan.

Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan pesakit antarabangsa bukan sahaja melibatkan kos rawatan hospital, malah turut merangkumi tambang penerbangan, penginapan dan urusan logistik perjalanan bagi pesakit serta ahli keluarga mereka.

“Menerusi MoU ini, Batik Air memperkenalkan diskaun eksklusif bagi pakej rawatan di IJN yang direka khusus untuk pelancong dari luar negara,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Batik Air dan IJN pada Khamis.

Beliau berkata, dengan mengurangkan beban kewangan perjalanan untuk mendapatkan rawatan, lebih ramai pesakit diharap dapat menjalani saringan awal, menjalani pembedahan pada masa yang sesuai serta melalui proses pemulihan dengan lebih lancar.

Bagi menyokong mobiliti pesakit antarabangsa, Batik Air menawarkan diskaun tambang penerbangan sebanyak 10 peratus kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di IJN dengan mengemukakan surat temu janji rasmi daripada hospital berkenaan.

Inisiatif itu memudahkan perjalanan pesakit serta ahli keluarga yang mengiringi mereka untuk mendapatkan rawatan kardiovaskular dan torasik khusus di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, tanggungjawab IJN tidak terhad kepada merawat penyakit jantung semata-mata.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai pusat jantung nasional Malaysia, kami memainkan peranan penting dalam menggalakkan pencegahan, pengesanan awal dan intervensi tepat pada masanya.

“Melalui kerjasama dengan Batik Air ini, kami berharap lebih ramai pengembara dan orang awam mengambil langkah proaktif untuk memahami tahap kesihatan jantung mereka,” katanya.

Menerusi kerjasama tersebut, IJN turut memperkenalkan kempen ‘Fly High with a Healthy Heart’ yang menawarkan promosi eksklusif saringan kesihatan kepada penumpang antarabangsa Batik Air.

Penumpang yang layak boleh menikmati diskaun 15 peratus bagi pakej Essential Health Screening IJN dengan mengemukakan pas masuk Batik Air yang sah semasa pendaftaran di IJN.

Pakej itu ditawarkan pada harga RM765 selepas diskaun dan direka untuk menggalakkan pengesanan awal serta membantu individu mengambil langkah proaktif dalam menguruskan kesihatan jantung.

Selain itu, IJN turut menawarkan diskaun 20 peratus bagi pakej Premier Heart Screening kepada 1,000 penumpang antarabangsa Batik Air yang pertama.

Ditawarkan pada harga RM1,760 selepas diskaun, pakej tersebut merangkumi penilaian kardiovaskular yang lebih komprehensif, termasuk pemeriksaan jantung dan vaskular lanjutan, pengimejan abdomen, ujian makmal menyeluruh, analisis komposisi badan, kaunseling pemakanan serta konsultasi bersama pakar kardiologi.

“Melalui kerjasama dengan Batik Air, kami berharap dapat menyediakan kemudahan tambahan kepada pesakit dan ahli keluarga mereka, khususnya mereka yang datang dari luar negara untuk mendapatkan rawatan di IJN,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!