[VIDEO] PH Simpang Renggam buat laporan polis dakwa MB Johor langgar peraturan kempen
KLUANG – Pakatan Harapan (PH) Simpang Renggam membuat satu laporan polis terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung dakwaan salah laku membabitkan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ketika tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Wakil calon PH Machap yang juga Timbalan Ketua Kawasan Amanah Simpang Renggam, Hairu Nasir Rohani berkata laporan polis itu dibuat agar pihak berkuasa menjalankan siasatan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan kempen.
"Hari ini, kami membuat laporan polis berkaitan dengan isu yang timbul ekoran ceramah oleh Menteri Besar di Kluang, yang mana telah tular.
"Jadi, bila melihat beberapa portal dan juga dalam Facebook juga TikTok berhubung perkara ini, jadi saya fikir perkara ini adalah menjadi satu kesalahan.
"Asasnya ialah sebagaimana yang telah ditalimatkan kepada kami, larangan-larangan sewaktu pilihan raya, apa yang berlaku itu termasuk dalam kategori larangan yang tidak boleh dibuat oleh calon semasa kempen," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam, di sini pada Khamis.
Laporan yang dibuat itu mendakwa terdapat usaha untuk mempengaruhi pelajar institusi TVET tempatan bagi menghadiri program yang didakwa bermotifkan politik untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) tanpa pengetahuan atau kerelaan pelajar terbabit.
Menurut Hairu Nasir, tindakan tersebut dipercayai melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, khususnya melibatkan elemen pengaruh tidak wajar (undue influence) serta salah guna kedudukan rasmi kerajaan atau institusi pendidikan bagi tujuan kempen politik.
Antara perkara yang perlu disiasat adalah sama ada wujud unsur paksaan, umpanan, atau penyalahgunaan aset kerajaan bagi mempengaruhi pengundi muda atau pelajar, serta sama ada aktiviti tersebut melanggar mana-mana seksyen di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pada 7 Julai lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata tindakan Onn Hafiz pada program Jelajah TVET MARA baru-baru ini bukan untuk berkempen, sebaliknya sekadar memperkenalkan calon Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Pengerusi MARA berkata, dakwaan bahawa program berkenaan dijadikan platform berkempen adalah tidak tepat memandangkan Jelajah TVET MARA adalah program nasional yang dilaksanakan di seluruh negara.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap menyaksikan saingan dua penjuru apabila penyandangnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dicabar calon Pakatan Harapan (PH)-Amanah, Nur Hafiz Roslan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

