PRN Johor: Parti Kancil tidak relevan, beri sokongan padu kepada PH - Tian Chua

KUALA LUMPUR – Parti Kancil yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan tidak memberi kesan signifikan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya pengundi diseru memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan (PH).
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, tumpuan pengundi seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan PH bagi memastikan wujud keseimbangan kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, walaupun PH merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan bersama Barisan Nasional (BN), peranan gabungan itu di peringkat negeri tetap penting sebagai mekanisme semak dan imbang.
“Dalam perjuangan reformasi, apa yang kita capai ialah memastikan wujud keseimbangan kuasa di semua arena politik.
“Di mana-mana sekalipun, jika sesebuah kerajaan dimonopoli oleh satu parti, ia boleh membawa kesan buruk kerana sistem pentadbiran tidak mempunyai semak dan imbang yang berkesan.
“Justeru, saya menyeru semua pengundi pulang dan memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya berlaku gerakan memboikot PRN dalam kalangan pengundi Cina, Tian Chua berkata, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu isu yang serius.
Sebaliknya, beliau berpendapat keadaan itu lebih disebabkan faktor kurangnya motivasi untuk pulang mengundi memandangkan pilihan raya hanya melibatkan sebuah negeri, selain komitmen pekerjaan.
“Saya rasa isu boikot itu tidak wujud. Mungkin ada yang kurang bermotivasi kerana ini hanya pilihan raya negeri dan merasakan urusan kerja lebih penting daripada mengambil cuti untuk pulang mengundi.
“Bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana akhirnya kesan keputusan PRN akan ditanggung oleh pengundi sendiri.
“Jadi, saya berharap semua pihak mengetepikan emosi dan alasan kesibukan, sebaliknya membuat perancangan untuk kembali mengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Tian Chua menegaskan PH bukan sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan mana-mana kaum semata-mata, sebaliknya berperanan memastikan keseimbangan kuasa demi kepentingan seluruh rakyat.
“PH bukan untuk orang bukan Melayu sahaja, tetapi untuk semua rakyat. Kita memainkan peranan mengimbangkan kuasa bukan atas kepentingan orang bukan Melayu, tetapi demi manfaat semua kaum.
“Saya percaya masyarakat Cina dan India menghargai perkara ini dan lebih selesa hidup dalam suasana yang membolehkan semua kaum menikmati keamanan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
