Empat termasuk dua beradik didakwa urus pusat operasi judi dalam talian

SUNGAI PETANI - Empat individu termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret 3 di sini, menguruskan pusat operasi judi dalam talian April lalu.
Kesemua tertuduh termasuk dua beradik, Eow Yao Ping, 25; Eow Yong Huang, 30; Tan Yan Zhong, 25; dan Cheng Chean Seng, 61, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman pada Khamis
Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama dengan niat yang sama telah menguruskan suatu rumah judi terbuka iaitu sebuah pusat operasi judi dalam talian.
Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang 4.20 hingga 6 petang, di Taman Kampung Raja di sini 7 April lalu.
Dengan itu, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 dan hendaklah dihukum penjara tidak lebih tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Saffiya Kamaruzaman sementara tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pihak pendakwaan menawarkan RM8,000 dengan seorang penjamin namun kesemua tertuduh memohon agar jaminan rendah dikenakan selain menjelaskan tiada halangan hadir ke mahkamah setiap kali perbicaraan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan setiap tertuduh dibenar ikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

