Pelakon wanita positif dadah dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR - Pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal ditahan ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Raja Chulan di sini pada Selasa, telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pada Rabu.
“(Pelakon wanita) dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ringkas.
Pada Selasa, media melaporkan serbuan Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 3.15 pagi.
Menurut sumber, pelakon wanita itu yang juga pernah menyertai rancangan realiti nyanyian ditahan di dalam salah satu bilik VIP bersama beberapa individu lain.
Ujian saringan awal ke atas pelakon berusia 40 tahun terbabit mendapati dia positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
Hasil pemeriksaan juga mendapati premis terbabit gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah.
Sumber berkata, dalam serbuan itu seramai 14 orang ditahan terdiri penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita.
Kesemua mereka kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
