Pusat hiburan jadi sasaran, sindiket dadah RM13.2 juta tumpas

Hussein (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
Hussein (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah sintetik yang membekalkan bahan terlarang itu ke pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan Kuantan tumpas selepas tujuh individu ditahan dalam serbuan Op Musca pada 3 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun diberkas selepas polis melakukan lima serbuan di sekitar Lembah Klang dan Pahang.

"Kesemua serbuan itu menyasarkan unit kediaman kondominium yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan serta pembungkusan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

"Dalam serbuan sama, kita merampas pelbagai jenis dadah termasuk 84.3 kilogram (kg) serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 4.4 kg pil ekstasi, 2.4 kg ketamin dan 730 gram pil eramin 5 yang dianggarakan bernilai RM13.2 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Hussein berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu.

"Dadah yang disimpan di lokasi berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pengedar di kawasan parkir kenderaan kondominium sebelum dibawa keluar untuk diedarkan ke pusat hiburan.

"Selain rampasan dadah, kita turut menyita pelbagai aset bernilai RM1.28 juta termasuk 10 kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket terbabit," katanya.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati empat daripada tujuh suspek positif methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati hanya seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes perjudian.

Hussein berkata, JSJN akan terus memperhebatkan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi melindungi masyarakat terutama golongan muda.

Artikel Berkaitan:

"Kita komited memerangi dadah, orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN di talian 0122087222," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!