Pasangan kekasih dalang sindiket dadah ditahan

Sahabudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dari kelima-lima suspek.
Sahabudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dari kelima-lima suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Sepasang kekasih ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM55,497 di sebuah rumah di Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan pada 10 April lalu.

Dalam dua serbuan yang bermula jam 6.30 petang hingga 12 tengah hari itu, tiga lelaki turut ditahan di tepi jalan di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, selain dadah, polis juga merampas wang tunai bernilai RM878,236 yang disorokkan di rumah yang didiami dalang sindiket berusia 41 tahun bersama teman wanitanya berusia 18 tahun.

Menurutnya, selain wang tunai dan dadah, polis menyita dua buah kereta Honda Accord bernilai RM149,500 dan barang kemas bernilai RM26,487.

Sindiket tersebut turut menyembunyikan wang tunai bernilai RM878,236 di sebuah rumah di Bukit Tambun, SPS.
Sindiket tersebut turut menyembunyikan wang tunai bernilai RM878,236 di sebuah rumah di Bukit Tambun, SPS.

"Kesemua tangkapan ini berusia lingkungan 18 hingga 41 tahun dan kesemuanya warga tempatan. Mereka ini dipercayai beroperasi sejak dua hingga tiga bulan lalu. Dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan, namun kita masih menyiasat sumber bekalan ini.

"Kita merampas 6.05 kilogram heroin; 8.07 gram ganja; 4.91 gram syabu, 1.12 gram ketamin dan 16 biji eramin 5. Rumah yang didiami kekasih tersebut dipercayai milik kakak suspek namun kita masih menyemak kesahihan maklumat pemilikan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambahnya, jumlah sitaan bernilai RM1.05 juta dan ia merupakan rampasan terbesar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Artikel Berkaitan:

"Dadah ini mampu digunakan oleh lebih 15,193 penagih sekiranya ia terlepas di pasaran. Kesemua tangkapan direman sehingga 17 April ini untuk siasatan lanjut.

"Tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah melibatkan dadah sementara ujian saringan air kencing mereka positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.