PRN Negeri Sembilan: KJ lebih selesa bantu kempen, berbanding jadi calon

SEREMBAN - Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara peribadi mengakui lebih selesa berperanan sebagai jentera parti bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berbanding menjadi calon.
Menurutnya, keadaan itu membolehkannya bergerak lebih bebas membantu kempen di setiap kawasan, bukannya tertumpu kepada satu kawasan saja.
Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
"Sebarang keputusan berkaitan dengan pemilihan calon ini adalah di bawah Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Jadi kita jangan mendahului keputusan daripada pucuk pimpinan.
"Tapi saya secara peribadi lebih suka menjadi jentera biasa untuk PRN Negeri Sembilan, bukannya calon kerana saya pun baru saja kembali menyertai UMNO," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Seremban di sini pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan Khairy dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein merupakan dua bekas pemimpin UMNO yang sebelum ini digantung dan dipecat, sah menyertai semula parti tanpa sebarang syarat hasil Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada April lalu.
Beliau sebelum ini menyandang Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding.
Dalam pada itu, Khairy berpendapat, melihat situasi politik hari ini, Barisan Nasional (BN) lebih cenderung bertanding secara solo di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau memahami bahawa di peringkat pucuk pimpinan parti ada pandangan atau formula yang berbeza.
"Saya rasa kita lebih cenderung untuk bertanding secara solo di Negeri Sembilan. Namun, kita faham di peringkat pucuk pimpinan mungkin ada pandangan lain dan kita perlu terbuka sekiranya terdapat formula yang lain.
"Tapi dari segi kehendak, saya rasa lebih kepada bertanding solo," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

