'Saya mahu sembuh' - Penggali kubur derita kanser mulut rayu bantuan

Rosli yang menderita penyakit kanser mulut kini sudah tidak boleh makan seperti biasa dan hanya bergantung kepada air yang diminum.
Rosli yang menderita penyakit kanser mulut kini sudah tidak boleh makan seperti biasa dan hanya bergantung kepada air yang diminum.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – "Saya dah tak boleh buka mulut untuk makan. Setiap hari saya hanya minum guna tiub kerana itu sahaja cara untuk saya dapatkan tenaga."

​Demikian luahan seorang penggali kubur, Rosli Abdullah, 52, yang kini hanya mampu bergantung sepenuhnya kepada cecair selepas hilang upayauntuk mengunyah makanan akibat penyakit kanser mulut dialaminya.

​Lebih menyedihkan, dia yang sebelum ini menabur bakti menguruskan jenazah kini terlantar dan terpaksa menahan kesakitan selepas pipi kanannya semakin membengkak akibat diserang semula sel kanser berkenaan.

​Rosli berkata, dia disahkan menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lalu dan sudah dua kali menjalani prosedur pembedahan, namun penderitaannya masih belum berakhir apabila keadaannya semakin merosot sejak dua minggu lalu.

​"Selepas kesihatan semakin teruk, saya juga tidak mampu bekerja. Saya kini bergantung kepada bantuan pihak pengurusan surau untuk makan, minum dan keperluan harian.

​"Saya harap ada insan yang sudi membantu saya mendapatkan rawatan secepat mungkin. Saya masih mahu sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya ketika ditemui di Surau Flat Batas Baru di sini.

​Menurut Rosli, dia kini telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan bagi menjalani pembedahan susulan selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

​Bagaimanapun, katanya impian untuk kembali sihat semakin samar disebabkan kekangan kewangan memandangkan dia memerlukan dana kira-kira RM50,000 bagi menampung kos pembedahan serta kos perbelanjaan sepanjang menerima rawatan di hospital tersebut.

​Sebelum jatuh sakit, Rosli yang belum berkahwin menyara hidup dengan menggali kubur selain mengurus dan menjaga kebersihan surau yang turut menjadi tempat tinggalnya sejak lebih 30 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

​Walaupun mempunyai adik-beradik tiri yang tinggal berdekatan, dia kini lebih banyak bergantung kepada ihsan pengurusan surau dan rakan-rakan di kawasan Flat Batas Baru untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"​Pihak pengurusan surau ada membuka tabung sumbangan untuk saya tapi dana yang dikumpul setakat ni masih sikit untuk tampung rawatan saya," katanya.

​Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu Rosli boleh menghubungi Bendahari Surau Flat Batas Baru, Tuan Ridwan di talian 014-3695714.

Selain itu, bantuan terus boleh disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1110141100035581 atas nama Rosli Abdullah.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!