Jururawat didakwa bunuh suami, suntik cecair pencuci tandas campur ubat tidur

NIZAMABAD - Seorang jururawat berusia 32 tahun di India ditahan selepas didakwa membunuh suaminya dengan cara menyuntik cecair pencuci tandas yang dicampur ubat tidur ke dalam saluran darah melalui kanula.
Menurut laporan NDTV, kejadian berlaku di Telangana pada 30 Jun lalu ketika suaminya, Dayini Prashanth, 35, masih menerima rawatan selepas terselamat daripada cubaan bunuh sebelum ini.
Suspek dikenali sebagai Sandhya bekerja di sebuah hospital swasta dan didakwa menyuntik campuran cecair pencuci tandas dan ubat tidur yang dihancurkan melalui tiub intravena (IV) disambungkan kepada suaminya.
Menurut polis, tindakan itu dipercayai dilakukan kerana Sandhya mahu meneruskan hubungan sulit dengan seorang lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Anil.
"Siasatan dijalankan selepas ibu mangsa membuat laporan polis kerana menyuarakan rasa curiga terhadap punca kematian anaknya.
"Prashanth sebelum ini bekerja di negara Teluk selama dua tahun sebelum pulang ke India pada 27 Jun lalu," katanya.
Polis turut memaklumkan, Sandhya menganggap suaminya sebagai penghalang kepada hubungannya dengan Anil.
Dia kemudiannya didakwa merancang pembunuhan itu bersama Anil dan seorang lagi rakannya.
Hasil siasatan mendapati Sandhya sebelum itu terbabit dalam cubaan membunuh suaminya dengan menolaknya daripada atas bumbung bangunan, namun gagal.
Kata polis, rakan Anil datang ke rumah Prashanth pada 29 Jun lalu dan memberinya minuman keras dalam jumlah yang banyak sebelum membawa mangsa ke atas bumbung bangunan.
Mangsa kemudian ditolak daripada bumbung mengikut rancangan mereka, namun dia terselamat meskipun mengalami kecederaan parah.
Sandhya kemudian memberitahu suaminya bahawa kejadian itu berlaku kerana dia terjatuh ketika mabuk dan membawa mangsa ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa kemudian dipindahkan ke hospital swasta sebelum dibawa pulang ke rumah.
Sebagai sebahagian daripada perancangan, Sandhya didakwa menyuntik campuran beracun iaitu cecair pencuci tandas dan ubat tidur yang dihancurkan ke dalam tubuh suaminya sebelum menolaknya daripada katil hingga menyebabkan kematiannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
