Prabowo dedah miliki DNA India

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendedahkan bahawa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalaninya menunjukkan beliau mempunyai keturunan India.
Beliau berkongsi perkara itu ketika berucap di hadapan komuniti India di Jakarta, sambil berseloroh bahawa muzik India sentiasa membuatkan beliau berasa ingin menari sehingga disambut sorakan hadirin.
Prabowo turut bergurau dengan mengatakan ramai anggota Kabinetnya gemar menyanyikan lagu-lagu India dan mungkin juga mempunyai DNA India.
Dalam ucapannya, beliau memuji pengaruh besar tamadun India terhadap Indonesia, khususnya dalam aspek budaya, bahasa dan sejarah yang menurutnya telah lama membentuk identiti negara itu.
Kenyataan tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri India, Narendra Modi yang menyifatkan kata-kata Prabowo berjaya menyentuh hati jutaan rakyat India.
Menurut Modi, kenyataan itu mencerminkan hubungan persahabatan yang erat serta warisan sejarah dan budaya yang dikongsi kedua-dua negara sejak sekian lama.
Hubungan India dan Indonesia sememangnya berakar umbi sejak berabad-abad lalu, dengan pengaruh budaya dan perdagangan yang terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Lawatan Narendra Modi ke Jakarta merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik India-Indonesia yang merangkumi kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan, maritim dan kebudayaan.
Kedua-dua negara turut berkongsi hubungan sejarah yang panjang sejak berabad-abad melalui pengaruh tamadun India terhadap kepulauan Nusantara, termasuk dalam aspek bahasa, seni, agama dan warisan budaya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

