'Talkin politik': Tindakan tidak wajar, persenda Islam

Mohd Fared (kanan) dan laporan Sinar Harian.
Mohd Fared (kanan) dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

BATU PAHAT- Tindakan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) membacakan 'talkin pilihan raya' dalam satu klip video kempen disifatkan sebagai tidak wajar dan didakwa mempersendakan agama Islam.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, talkin merupakan amalan sunat dalam Islam, dibacakan kepada jenazah dan memberi peringatan kepada yang masih hidup.

"Adakah pemimpin ini menganggap bahawa pengundi-pengundi Johor 'sudah mati'? Ia seolah-olah merendah-rendahkan kita Bangsa Johor.

"Janganlah persenda syiar Islam walau untuk tujuan apa sekalipun, carilah cara lain untuk berkempen. Jangan cemar syiar Islam dengan cara politik murahan. Ia bukan perkara lawak yang boleh dianggap gurauan dan jelas persendaan yang punyai niat yang merugikan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Beliau yang juga penyandang Dun Semerah berkata, cara berkenaan bukanlah akhlak terbaik seorang mukmin dan di Johor kempen seperti itu pasti akan ditolak.

Katanya, bahkan tindakan tersebut turut ditegur rakan pemimpinnya sendiri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet yang menegaskan isu agama tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan atau dipermainkan walaupun dengan niat untuk menyampaikan mesej politik.

"Bangsa Johor ini bijak.. bijak membezakan antara si pelawak dengan ahli politik matang. Kita menyeru supaya semua pengundi-pengundi Johor menolak Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Johor kali ini

"Orang-orang Johor semua belajar agama, kita dididik untuk mengamalkan serta memuliakan Islam dan syiarnya.

"Mempersenda syiar Islam bukan cara kita di Johor dan watak seperti ini tidak boleh dibenarkan bertapak di Johor Darul Ta'zim," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular video memaparkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyampaikan ucapan berbentuk ‘talkin politik’ dalam satu ceramah kempen, termasuk menyebut frasa ‘kalau bagi RM100 mintalah RM500″, sekali gus mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!