Keadaan FELDA tidak lagi sebaik era BN - Pengerusi RISDA

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Warga FELDA perlu menerima hakikat bahawa keadaan tanah rancangan itu ketika ini tidak lagi lebih baik berbanding di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) susulan beberapa inisiatif yang pernah dinikmati dilihat semakin berkurangan.
Pengerusi Pengerusi Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, pelbagai program yang pernah menjadi pemangkin pembangunan generasi baharu FELDA.
Beliau berkata, antara program melibatkan skim biasiswa, skim tuisyen, kolej kemahiran FELDA serta inisiatif keusahawanan termasuk Skim Insentif Usahawan FELDA (SIUF) dan SAWARI kini tidak lagi menampakkan kesinambungannya.
Menurutnya, keadaan itu berbeza berbanding ketika FELDA diterajui di bawah kerajaan BN yang memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan, kemahiran dan ekonomi warga peneroka.
"Kita perlu menerima hakikat bahawa keadaan kita tidak lebih baik berbanding sewaktu FELDA di bawah Kerajaan Barisan Nasional.
"Kenapa ini berlaku? Kerana rakyat bereksperimen menukar kerajaan. Rakyat beranggapan jika tidak baik boleh ditukar semula, namun mereka lupa harga yang perlu dibayar apabila berlaku gangguan terhadap dasar dan fokus pembangunan," katanya menerusi kenyataan sempena sambutan ulang tahun ke-70 FELDA pada Selasa.
Manndzri yang juga anak Jati FELDA Pengeli Timur berkata, penubuhan FELDA oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 7 Julai 1956 merupakan usaha besar untuk mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, menyusun semula masyarakat serta memperkukuhkan pembangunan luar bandar.
Jelasnya, kejayaan FELDA diteruskan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pelbagai inisiatif pembangunan modal insan dan Aspirasi FELDA Glokal yang memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, peningkatan pendapatan peneroka, pembangunan generasi baharu serta memperkukuhkan institusi FELDA.
Bagaimanapun, katanya, selepas hampir dua dekad, aspirasi berkenaan didakwa tidak lagi dizahirkan sebagaimana yang dirancang.
Beliau turut mendakwa pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap BN dan UMNO telah menyebabkan masyarakat melupakan sumbangan kedua-dua pihak dalam mengasas serta membangunkan FELDA sejak lebih enam dekad lalu.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga FELDA melakukan muhasabah sempena ulang tahun ke-70 penubuhan agensi berkenaan dan kembali menghayati matlamat asal pembangunan FELDA.
"Secara peribadi, saya berpandangan 317 tanah rancangan FELDA di seluruh negara bersama hampir dua juta warganya perlu kembali berada di landasan terbaik seperti yang digariskan oleh pasukan yang mengasaskan dan membangunkan FELDA sejak lebih 60 tahun lalu.
"Semoga ulang tahun ke-70 ini menjadi titik tolak kepada kesatuan warga FELDA untuk memacu semula aspirasi pembangunan FELDA pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

