Festival Filem Raintown terima 152 penyertaan, perkukuh kedudukan platform filem bebas

TAIPING – Festival Filem Raintown terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform penting dalam perkembangan industri perfileman bebas negara apabila menerima 152 penyertaan bagi Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026, meningkat 47.6 peratus berbanding 103 penyertaan yang diterima pada edisi tahun lalu.
Peningkatan itu bukan sahaja mencerminkan penyertaan yang semakin meluas, malah memperlihatkan keyakinan komuniti perfileman terhadap Festival Filem Raintown yang semakin diiktiraf sebagai platform mengetengahkan karya asli, meraikan penceritaan tempatan dan menghubungkan pembikin filem dengan khalayak industri.
Selepas melalui proses penilaian oleh panel juri bebas yang dianggotai lima ahli, sebanyak 20 filem terbaik dipilih sebagai finalis untuk bersaing dalam lapan kategori anugerah sempena festival yang akan berlangsung di Taiping pada September ini.
Pengasas Festival Filem Raintown, Jacky Yeap berkata, festival berkenaan kini berkembang melangkaui identitinya sebagai acara komuniti di Taiping.
"Festival ini bukan lagi sekadar milik Taiping. Pembikin filem dari seluruh negara semakin mengenali Raintown dan setiap tahun kami menyaksikan peningkatan dari segi jumlah serta kualiti penyertaan.
"Ia membuktikan festival ini semakin diyakini sebagai platform yang berprestij untuk memperkenalkan karya mereka," katanya.
Beliau berkata, sokongan sektor korporat turut menjadi pemangkin penting kepada perkembangan festival itu.
"Apabila WCE menyokong kami sejak tahun lalu, mereka percaya kepada visi festival ini sebelum ramai pihak melihat potensinya.
"Sokongan berterusan itu bukan sahaja memberi keyakinan kepada pihak penganjur, malah turut menyuntik semangat kepada pembikin filem muda untuk terus berkarya," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif West Coast Expressway (WCE), Lyndon Alfred Felix berkata, syarikat itu komited menyokong pembangunan komuniti menerusi inisiatif yang mampu memperkasa bakat tempatan serta memelihara warisan budaya.
"Di WCE, kami percaya setiap perjalanan mempunyai kisah yang wajar dikongsikan. Kami berbangga dapat menyokong Festival Filem Raintown yang semakin mendapat pengiktirafan sebagai platform perfileman di peringkat nasional.
"Kami berharap bakat-bakat tempatan akan terus mengangkat kisah yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia, sekali gus merakamkan warisan dan keunikan komuniti di sepanjang koridor West Coast Expressway," katanya.
Sebanyak 20 karya yang disenarai pendek mewakili kepelbagaian landskap perfileman Malaysia, membabitkan pengarah profesional, pelajar jurusan perfileman, pembikin filem baharu serta peserta yang kembali menyertai pertandingan daripada edisi terdahulu.
Karya yang dipertandingkan merangkumi filem naratif, dokumentari, animasi dan sinema eksperimental, dengan setiap satunya menampilkan tafsiran tersendiri terhadap tema tahun ini, "After the Rain".
Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026 dianjurkan oleh WuBen Film Magazine dan Studio 1914 dengan sokongan strategik daripada West Coast Expressway (WCE).
Festival itu turut mendapat sokongan kerajaan negeri Perak, Port Ipoh, Ahli Parlimen Taiping serta pelbagai rakan industri.
Festival Filem Raintown ialah festival perfileman berteraskan komuniti yang dianjurkan di Taiping, Perak bagi meraikan warisan tempatan, penceritaan Malaysia yang autentik serta bakat kreatif baharu.
Sebagai antara platform perfileman utama di utara Semenanjung, festival itu menyediakan ruang kepada pembikin filem, penggiat kreatif dan komuniti untuk berkongsi idea melalui medium sinema di samping mengetengahkan naratif tempatan serta pengalaman budaya.
Edisi ketiga Festival Filem Raintown dijadualkan berlangsung pada September 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

