Ramai pekerja di Selangor masih bayar zakat di negeri asal - Zakat Selangor

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) mengesan masih terdapat individu yang bekerja dan menetap di negeri ini menyalurkan zakat pendapatan ke negeri asal masing-masing kerana tidak menyedari mereka sepatutnya membayarnya di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata, situasi itu dipercayai berlaku akibat kekurangan kesedaran mengenai fatwa dan peraturan yang ditetapkan individu bekerja atau bermastautin di Selangor perlu menunaikan zakat melalui Zakat Selangor sebagai amil dilantik.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak dapat menganggarkan jumlah potensi kutipan zakat yang 'terlepas' ke negeri lain kerana kekangan mendapatkan data tepat termasuk tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
"Kita memang sukar memperoleh angka yang kukuh kerana tertakluk kepada PDPA dan syarikat juga tidak boleh sewenang-wenangnya mendedahkan jumlah pekerja mereka.
"Namun, saya yakin situasi itu berlaku kerana masih ada pekerja yang khilaf atau tidak sedar apabila mereka bekerja atau tinggal di Selangor, tanggungjawab menunaikan zakat adalah kepada Zakat Selangor bukannya di negeri asal mereka," katanya.
Beliau berkata demikan dalam Majlis Penghargaan Majikan dan Ejen Kutipan Zakat Selangor di sini pada Selasa.
Mohd Khaidzir berkata, meskipun seseorang berasal dari negeri lain, namun tanggungjawab menunaikan zakat berubah apabila mereka memperoleh pendapatan dan bermastautin di Selangor.
Katanya, zakat yang dikutip di negeri ini akan diagihkan semula kepada golongan asnaf di Selangor, sekali gus memenuhi hikmah pensyariatan zakat dalam membantu masyarakat setempat.
Beliau memberitahu, pembayaran zakat bukan sahaja menyempurnakan tuntutan rukun Islam, malah pembayar turut layak menikmati rebat cukai yang disediakan kerajaan.
Dalam pada itu, Mohd Khaidzir memberitahu, kira-kira 5,000 ketua keluarga berjaya keluar daripada kategori fakir dan miskin hasil pelbagai program pembangunan dilaksanakan Zakat Selangor sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, jumlah itu adalah sebahagian daripada kira-kira 70,000 hingga 80,000 asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan daripada Zakat Selangor.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, kejayaan institusi zakat tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah asnaf berjaya keluar daripada kemiskinan, sebaliknya memastikan semua golongan fakir dan miskin yang layak menerima bantuan terlebih dahulu.
"Mandat zakat bukan untuk menjadikan orang miskin kaya, tetapi mengutip zakat daripada mereka yang wajib membayar dan mengagihkannya kepada lapan golongan asnaf khususnya fakir dan miskin.
"Saya yakin semua fakir dan miskin yang dikenal pasti di Selangor sudah disantuni melalui pelbagai bentuk bantuan sama ada mereka berjaya keluar daripada kemiskinan atau tidak bergantung kepada keadaan dan cabaran dihadapi setiap individu," jelas beliau.
Menurutnya, setiap asnaf mempunyai latar belakang berbeza termasuk faktor masalah kesihatan, orang kurang upaya (OKU), kehilangan pekerjaan, muflis atau kekurangan kemahiran menyebabkan pendekatan bantuan yang diberikan juga tidak sama.
Katanya, bagi membantu mereka keluar daripada kemiskinan, Zakat Selangor melaksanakan pelbagai program pembangunan termasuk bantuan pendidikan kepada anak-anak asnaf, skim pembangunan perniagaan serta padanan pekerjaan dengan syarikat yang memerlukan tenaga kerja.
"Kita akan lihat punca mereka menjadi asnaf contohnya jika dahulu mereka berniaga tetapi muflis, kita bantu bangunkan semula perniagaan.
"Jika mereka kehilangan pekerjaan, kita usahakan padanan dengan majikan yang sedang mencari pekerja.
"Semua asnaf akan dibanci bagi mengenal pasti keperluan sebenar mereka supaya bantuan yang diberikan lebih berkesan," jelas beliau.
Mohd Khaidzir berkata, seseorang asnaf hanya akan dikeluarkan daripada kategori fakir atau miskin selepas penilaian mendapati pendapatan isi rumah mereka benar-benar melepasi had kelayakan ditetapkan.
Mohd Khaidzir (enam dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada pemenang kempen insentif ejen kategori penolong amil IPT semasa majlis itu pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

