PRN Johor: Rafizi ucap terima kasih, minta pengundi awal buat pilihan matang

Rafizi - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Rafizi - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli menzahirkan ucapan terima kasih dan selamat mengundi buat pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Rafizi turut mengingatkan kepada pengundi awal yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan supaya membuat pilihan dengan matang kerana ia memberi kesan kepada masa depan Johor dalam lima tahun akan datang.

"Hari ini ribuan anggota pasukan keselamatan dan petugas akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

"Saya ingin mengucapkan selamat mengundi kepada semua yang layak dan terima kasih kerana terus menjalankan tanggungjawab kepada negara, sama ada melalui tugas harian mahupun hak sebagai pengundi.

"Undilah dengan hati yang tenang dan fikiran yang matang. Pilihan hari ini memberi kesan kepada masa depan Johor dalam lima tahun akan datang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan, seramai 24,751 pengundi awal yang layak mengundi pada PRN Johor akan melaksanakan amanah mereka di 64 pusat mengundi diwartakan di seluruh negeri.

Pengundi awal bagi PRN Johor kali ini terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan.

Daripada keseluruhan pengundi awal PDRM, sebanyak 12,067 individu dijadualkan mengundi secara fizikal hari ini, manakala 643 menunaikan tanggungjawab menerusi undi pos.

Sebanyak 53 pusat mengundi awal bagi PDRM, manakala 11 lagi untuk ATM yang akan dibuka serentak jam 8 pagi ini dengan waktu penutupan dilakukan secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung kepada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Bagi menjamin kelancaran proses pengundian, PDRM mengatur gerak kesiapsiagaan 3,565 petugas merangkumi 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam untuk pemantauan menyeluruh di lapangan.

Semua peti undi awal akan disimpan di balai-balai polis yang ditetapkan dan hanya dibuka untuk pengiraan selepas tamat waktu pengundian biasa.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!