PRN Johor: Shafwan ingin buktikan bukan calon 'payung terjun' tawan Bukit Permai

Mohamad Shafwan menunjukkan manifestonya ketika ditemui Bernama di Bilik Gerakan Utama PH Bukit Permai, Kulai hari ini.
Mohamad Shafwan menunjukkan manifestonya ketika ditemui Bernama di Bilik Gerakan Utama PH Bukit Permai, Kulai hari ini.
A
A
A

KULAI - "Saya bukan calon 'payung terjun' atau sekadar hiasan. Inilah tempat saya berkhidmat dan mengutip pengalaman politik sejak sembilan tahun lepas. Menang atau kalah, komitmen saya untuk terus berada di sini membantu masyarakat tidak akan berubah."

Demikian tegas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani yang menyandarkan keyakinan terhadap rekod khidmat sebagai "orang belakang tabir" untuk menambat hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Meskipun kali pertama dicalonkan, Mohamad Shafwan, 33, menyifatkan pencalonan itu sebagai medan pembuktian keupayaan kepimpinan beliau, sekali gus sedia memberikan saingan sengit dalam pertembungan empat penjuru di kerusi berkenaan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kajian Politik dan Pemerintahan daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata peranannya sebagai pegawai khas di Pejabat Ahli Parlimen Kulai sejak 2017 memberikan kelebihan besar untuk beliau memahami "denyut nadi" dan selok-belok permasalahan setempat secara terperinci.

Bagi memenangi hati 44,819 pemilih berdaftar, anak jati Skudai yang telah menetap di sini hampir sedekad itu mempertaruhkan Pelan Tindakan Bukit Permai yang menggariskan empat teras utama, iaitu Pejabat DUN Bergerak, Pendidikan Bersasar, Keseimbangan Infrastruktur dan Bukit Permai Sihat.

"Melalui Pejabat DUN Bergerak dan program Bukit Permai Sihat, kita mudahkan urusan harian rakyat dengan membawa kaunter perkhidmatan serta saringan kesihatan percuma terus ke lokasi tumpuan ramai.

"Inilah langkah tuntas untuk meringankan beban kos sara hidup warga emas dan golongan B40 yang kesuntukan masa," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pada masa yang sama, agenda Pendidikan Bersasar dan Keseimbangan Infrastruktur akan diperkasakan demi merapatkan jurang pembangunan.

"Sokongan sekolah akan disalurkan mengikut keperluan, manakala isu kritikal seperti banjir kilat, perparitan dan pelebaran jalan di kawasan tradisi serta Felda akan diselesaikan demi keselesaan penduduk,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tentang kejadian sabotaj membabitkan tindakan mengoyak papan tanda kempen miliknya baru-baru ini, Naib Setiausaha DAP Sosialis Pemuda (DAPSY) Johor itu berkata, beliau langsung tidak goyah, malah menganggapnya sebagai pembakar semangat.

"Perkara itu (sabotaj) kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasatan. Fokus saya dan jentera ketika ini ialah baki tempoh kempen, terutama dalam mendekati kumpulan pengundi muda yang merangkumi kira-kira 30 hingga 40 peratus di DUN ini.

"Saya tidak meminta rakyat menilai saya hanya pada poster, ceramah, atau janji-janji manis sepanjang tempoh dua minggu ini. Tetapi nilailah perjalanan, keikhlasan dan pahit manis khidmat saya bersama-sama mereka selama ini," katanya.

Di sebalik pelbagai cabaran, Mohamad Shafwan bersyukur perjalanan kempennya berjalan dengan sangat baik selain ramai sukarelawan hadir bersama-sama dengannya berjuang untuk mendapat mandat sebagai wakil rakyat di DUN tersebut.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada barisan sukarelawan yang tampil memberikan sokongan moral dan tenaga sepanjang tempoh berkempen.

PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini, manakala pengundian awal berlangsung hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!