Kanser dan kisah kehilangan

BEBERAPA hari lalu, saya kehilangan seorang sahabat akibat kanser. Walaupun tahu dia sedang menjalani rawatan, berita pemergiannya tetap meninggalkan kesan yang sukar digambarkan.
Kehilangan itu membuatkan saya kembali mengimbas satu persatu wajah insan pernah hadir dalam hidup saya tetapi akhirnya pergi kerana kanser.
Bila difikirkan semula, jumlahnya bukan sedikit. Ahli keluarga, rakan sekerja dan kenalan rapat. Ada masih muda, ada baru menikmati alam persaraan, malah ada yang sedang rancak membina kerjaya.
Saya percaya ramai mempunyai pengalaman sama. Hampir setiap keluarga hari ini pasti mengenali seseorang yang pernah berjuang melawan kanser.
Penyakit ini tidak memilih mangsa. Ia hadir tanpa mengira usia, latar belakang mahupun status kehidupan.
Hakikatnya, kanser semakin menjadi cabaran besar kesihatan awam negara.
Menurut data Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) yang diumumkan sempena Hari Kanser Sedunia 2026, sebanyak 290,430 kes kanser direkodkan di negara ini bagi tempoh 2017 hingga 2024.
Pada masa sama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kanser kini menjadi penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia, menyumbang 14.3 peratus daripada keseluruhan kematian pada 2024.
Lima jenis kanser yang paling banyak dilaporkan ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma dan hati.
Lebih membimbangkan, ramai pesakit hanya didiagnosis apabila penyakit sudah berada tahap tiga atau empat, sekali gus menjadikan rawatan lebih rumit dan mencabar.
Namun, dalam kita membincangkan statistik, jangan sesekali kita lupa di sebalik setiap angka itu ada seorang insan, sebuah keluarga dan satu perjuangan yang tidak mudah.
Hakikatnya, cabaran kanser bukan hanya dihadapi pesakit dan keluarga, malah turut memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini mendedahkan kira-kira 40,000 kes baharu direkodkan setiap tahun.
Angka itu jelas menunjukkan beban penyakit ini terus meningkat dan memerlukan kesiapsiagaan semua pihak.
Menurutnya, Malaysia kini mempunyai 84 pakar onkologi iaitu peningkatan hampir 60 peratus berbanding 2019. Namun, jumlah itu masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan rawatan kanser yang semakin kompleks.
Kenyataan itu menjadi peringatan usaha menangani kanser bukan sekadar soal menyediakan lebih banyak hospital atau pakar, tetapi memerlukan kerjasama seluruh masyarakat.
Dalam masa sama, kita juga perlu mengubah cara pandang terhadap penyakit ini. Kanser ialah penyakit yang kompleks.
Ada yang berpunca daripada faktor genetik, peningkatan usia, jangkitan, persekitaran dan ada juga yang berkait dengan gaya hidup. Justeru, tidak wajar pesakit dipersalahkan atas ujian yang mereka lalui.
Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah memastikan mereka mendapat sokongan diperlukan, selain menggalakkan lebih ramai menjalani saringan dan pemeriksaan kesihatan mengikut saranan doktor.
Pengesanan awal bukan jaminan, tetapi mampu meningkatkan pilihan rawatan dan memberi harapan lebih baik kepada pesakit.
Bagi mereka yang sedang berjuang melawan kanser, ketahuilah anda tidak bersendirian.
Pada masa sama, mungkin sudah tiba masanya kita mengubah cara melihat kanser. Ia bukan lagi isu individu atau keluarga tertentu, sebaliknya cabaran kesihatan negara yang memerlukan komitmen semua pihak.
Kesedaran perlu dipupuk sejak usia muda, manakala saringan kesihatan tidak seharusnya ditangguhkan kerana ramai pesakit membuktikan bahawa pengesanan awal mampu membuka lebih banyak pilihan rawatan dan meningkatkan kualiti hidup.
Kanser tidak pernah memilih mangsa namun kita boleh memilih untuk menjadi masyarakat yang lebih berempati, lebih prihatin dan lebih berani mengambil langkah awal demi kesihatan diri serta insan yang kita sayangi.
*Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

