Trump dakwa bantu tarik balik penggantungan Balogun

Trump mendakwa campur tangan dalam keputusan menarik balik penggantungan Folarin Balogun yang sebelum ini dilayangkan kad merah pada aksi pusingan 32 menentang Bosnia dan Herzegovina. Foto Agensi
Trump mendakwa campur tangan dalam keputusan menarik balik penggantungan Folarin Balogun yang sebelum ini dilayangkan kad merah pada aksi pusingan 32 menentang Bosnia dan Herzegovina. Foto Agensi
A
A
A

PREDISEN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa beliau memainkan peranan dalam keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan penggantungan satu perlawanan terhadap penyerang AS, Folarin Balogun yang membolehkannya beraksi dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Belgium hari ini (8 pagi waktu Malaysia).

Trump berkata, beliau menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino bagi membincangkan situasi pemain itu selepas Balogun dikenakan penggantungan susulan layangan kad merah pada pusingan 32 menentang Bosnia dan Herzegovina.

“Saya seorang yang mencintai sukan, saya pernah menjadi atlet dan saya memahami sukan dengan sangat baik,” kata Trump di Rumah Putih.

Menurutnya, insiden yang menyebabkan Balogun dibuang padang bukan satu kesalahan serius kerana ia berlaku ketika dua pemain bertembung dalam kelajuan tinggi.

“Itu bukan satu kesalahan. Mereka adalah dua atlet hebat yang bertembung antara satu sama lain,” katanya.

Trump turut mengkritik pengadil Brazil, Raphael Claus yang mengendalikan perlawanan AS menentang Bosnia, dengan menyifatkan keputusan tersebut sebagai meragukan.

“Pengadil itu agak mencurigakan. Saya tidak mahu mencetuskan kontroversi, tetapi ia sangat mencurigakan,” katanya.

FIFA kemudian membatalkan penggantungan satu perlawanan terhadap Balogun, sekali gus membolehkan pemain itu diturunkan menentang Belgium.

“Saya adalah orang yang meyakinkan mereka untuk melakukannya,” dakwa Trump sambil menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang bijak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, FIFA tidak menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat hasil campur tangan mana-mana pihak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!