Gol lewat Merino musnahkan impian Ronaldo

Respek... Merino menyapa Ronaldo selepas perlawanan tamat. Foto Agensi
Respek... Merino menyapa Ronaldo selepas perlawanan tamat. Foto Agensi
A
A
A

IMPIAN Cristiano Ronaldo untuk terus memburu kejuaraan Piala Dunia berakhir dengan penuh kekecewaan apabila Portugal tersingkir selepas tewas 1-0 kepada Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Dallas, awal pagi Selasa.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Mikel Merino yang dimasukkan pada minit ke-84 muncul wira apabila menyempurnakan hantaran Ferran Torres pada minit pertama masa kecederaan untuk menghadiahkan kemenangan dramatik buat La Roja.

Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan Sepanyol ke suku akhir, malah menyaksikan mereka menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia mencatat enam perlawanan berturut-turut tanpa dibolosi.

Sepanyol lebih banyak menguasai permainan menerusi gandingan Mikel Oyarzabal, Dani Olmo dan Lamine Yamal, namun ketangkasan penjaga gol Portugal, Diogo Costa memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan hampir sepanjang perlawanan.

Portugal turut mencipta beberapa peluang menerusi Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes dan Bernardo Silva tetapi kekebalan benteng Sepanyol serta aksi cemerlang Unai Simón menggagalkan setiap percubaan mereka.

Ketika Portugal mula bersedia menghadapi masa tambahan, Merino yang dimasukkan sebagai pemain gantian melakukan larian tepat sebelum tenang menewaskan Costa bagi memecah kebuntuan dan mencetuskan kegembiraan penyokong Sepanyol.

Portugal cuba bangkit pada saat-saat akhir, namun tandukan Bernardo Silva gagal menemui sasaran, sekali gus mengesahkan kemenangan tipis Sepanyol.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan Sepanyol menewaskan Portugal 1-0 pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2010, edisi yang menyaksikan mereka muncul juara dunia buat kali pertama.

Bagi Ronaldo, kekalahan itu menjadi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!