Lebih RM5 juta pembiayaan mikro disalur kepada usahawan pasar tani

LEBIH RM5 juta pembiayaan mikro berjaya disalurkan kepada penjaja dan usahawan pasar tani menerusi program turun padang institusi kewangan pembangunan (DFI) dan agensi kerajaan sejak ia dilaksanakan kira-kira tiga minggu lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, daripada jumlah tersebut, Agrobank yang menerajui sesi libat urus itu merekodkan permohonan pembiayaan berjumlah RM2.1 juta manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) pula mencatat permohonan melebihi RM2 juta.
Katanya, pencapaian berkenaan hasil pelaksanaan siri libat urus di tiga lokasi pasar tani terpilih setakat ini iaitu Taman Melawati, Kelana Jaya dan Bandar Tasik Permaisuri yang menyaksikan sambutan menggalakkan daripada komuniti penjaja terhadap akses pembiayaan yang ditawarkan.
“Secara keseluruhannya, permohonan pembiayaan mikro yang berjaya dikumpulkan di tiga pasar tani yang kita lawati ini telah melebihi RM5 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas program turun padang di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, Cheras di sini pada Sabtu.

Program berkenaan turut disertai BSN, Bank Rakyat, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan wakil Kementerian Kewangan (MoF).
Tengku Ahmad Badli Shah menjelaskan, inisiatif turun padang tersebut dilakukan selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar institusi kewangan mempergiatkan libat urus di lapangan bagi memahami keperluan peniaga kecil serta memperluas akses kepada modal dan sokongan kewangan yang bersesuaian.
Menurutnya, pemilihan Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri sebagai lokasi sesi kali ini pula berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai antara pasar tani yang aktif, dengan 70 peniaga beroperasi di 98 lot perniagaan serta menerima lebih 5,000 pengunjung setiap minggu.
“Komuniti penjaja dan usahawan mikro merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi setempat serta sumber pendapatan utama bagi ribuan keluarga di kawasan bandar.
“Tumpuan usahawan mikro yang tinggi, penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui kod respons pantas (QR) dalam kalangan majoriti peniaga serta aksesibiliti lokasi yang baik menjadikan pasar tani ini platform yang sesuai untuk memperluas akses kepada pembiayaan, perlindungan kewangan, khidmat nasihat perniagaan dan inisiatif pendigitalan,” ujarnya.
Kata beliau, menerusi sesi libat urus itu yang turtut dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Agrobank menyasarkan menerima 1,000 permohonan pembiayaan daripada penjaja dan usahawan pasar tani mengambil kira jumlah peniaga pasar tani di seluruh negara kira-kira 5,000 orang.
“Setakat ini pembiayaan RM2.1 juta yang kita rekodkan berdasarkan 78 permohonan yang diterima selepas program ini dimulakan kira-kira tiga minggu lalu,” tambahnya.
Katanya, Agrobank menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta untuk menyokong penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
Selain pembiayaan, Agrobank turut menyediakan latihan pengurusan kewangan, pemasaran, pendigitalan perniagaan serta perlindungan takaful bagi membantu meningkatkan daya saing usahawan mikro dalam jangka panjang.
Siri jelajah itu akan diteruskan sehingga hujung Julai dengan satu lokasi pasar tani dipilih setiap minggu bagi memperluaskan akses kewangan kepada lebih ramai peniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

