Kes Jana Wibawa: Tengku Zafrul tampil sebagai saksi pendakwaan ke-11

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir ke Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bagi memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-11, kes Jana Wibawa melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kes berkenaan berkaitan empat pertuduhan salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta yang dihadapi Presiden Bersatu itu.
Tengku Zafrul yang memakai kot berwanna biru dan berkemeja putih, tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi bagi prosiding yang akan berlangsung di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan, pernyataan saksi Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu telah diserahkan kepada pembelaan pada 15 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd bagi sekutu parti itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.
Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen ini membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

