'Tiada sepatah maaf pun kami terima'

MACHANG - Sudah hampir sedekad berlalu, namun setiap kali kisah penculikan bayi di Hospital Tanah Merah tular semula di media sosial, Siti Norbaiti Bahanaharing, 36, kembali dihantui mimpi ngeri yang disangkanya sudah lama berakhir.
Tidurnya tidak lena, jantungnya berdegup kencang dan air mata yang pernah mengering kembali mengalir mengenangkan detik hitam kehilangan bayi perempuan yang baru berusia lima hari pada 15 November 2016.
Peristiwa yang berlaku di Wad Kanak-Kanak Hospital Tanah Merah itu bukan sekadar meninggalkan kenangan pahit, malah mengubah seluruh perjalanan hidup keluarganya sehingga hari ini.
Anak perempuan yang dilahirkan pada 10 November 2016 dimasukkan ke wad akibat penyakit kuning. Tiada siapa menyangka hospital yang dianggap tempat paling selamat akhirnya menjadi lokasi detik paling mencemaskan dalam hidup pasangan suami isteri itu.
Suaminya, Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri, 39, berkata, sekitar jam 9 malam, mereka ke wad bagi membolehkan isterinya menyusukan bayi berkenaan.
Selepas meninggalkan isterinya seketika, dia kembali kira-kira 15 minit kemudian sebelum menyedari sesuatu yang tidak kena apabila isterinya memaklumkan bayi mereka tiada di atas katil.
“Saya terkejut. Pada mulanya kami sangka jururawat membawanya menjalani pemeriksaan darah kerana penyakit kuning.
“Namun selepas jururawat menafikannya, kami mencari di seluruh wad tetapi gagal menemuinya,” katanya.
Suasana bertukar kelam-kabut apabila seorang pengawal keselamatan memaklumkan bayi atas nama Siti Norbaiti sebenarnya telah dibawa keluar dari wad kira-kira jam 6.47 petang oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai ahli keluarga.
Siasatan polis kemudian mendapati penculikan itu dipercayai dirancang lebih awal. Wanita terbabit dilaporkan sudah beberapa hari berlegar-legar di wad dengan memakai pakaian bersalin dan menyamar sebagai ibu yang baru melahirkan anak.
Pasangan itu turut memperkenalkan bayi berkenaan kepada jururawat sebagai anak mereka sendiri sebelum suaminya membuat prosedur discaj serta membayar caj keluar wad sebanyak RM20.50 bagi membawa bayi tersebut keluar dari hospital.
Mereka juga dipercayai telah menamakan bayi itu sebagai Nur Amyra Sofea Mohd Ihtisyamuddin, dengan hasrat membesarkannya sebagai anak sendiri selepas kehilangan bayi kembar akibat keguguran beberapa bulan sebelum kejadian.

Lapor polis
Tanpa berlengah, Mohd Ihtisyamuddin membuat laporan polis. Beliau berkata, hasil semakan terhadap buku pendaftaran pelawat hospital, polis memperoleh butiran lelaki yang membawa keluar bayi berkenaan sebelum menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek.
Kurang dua jam selepas laporan dibuat, polis berjaya mengesan pasangan terbabit bersama bayi mereka di Selising, Pasir Puteh, kira-kira 39 kilometer dari Hospital Tanah Merah, sebelum membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah.
“Sekitar jam 12 tengah malam kami dipanggil ke balai polis, tetapi hanya dibenarkan melihat bayi dari jauh.
“Polis tidak terus menyerahkan bayi kepada kami kerana doktor dan jururawat perlu membuat pemeriksaan kesihatan serta mengesahkan identitinya terlebih dahulu sebelum bayi dibawa semula ke hospital,” katanya.
Ujarnya, sebaik sahaja isterinya melihat kaki bayi berkenaan, dia terus yakin itu adalah anak mereka.
“Dia menangis tanpa henti kerana bersyukur anak yang hilang akhirnya berada di depan mata.
“Walaupun hanya berpisah beberapa jam, ketika itu kami rasa seolah-olah kehilangannya selama-lamanya,” katanya.
Bayi tersebut ditemukan dengan pakaian yang sudah ditukar sepenuhnya termasuk baju, seluar dan sarung tangan.
Pasangan terbabit kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik. Wanita berkenaan dilaporkan dijatuhi hukuman penjara enam bulan, manakala suaminya dikenakan perintah parol selama dua tahun.
Namun, hukuman terhadap penculik tidak pernah menghapuskan trauma yang ditanggung keluarga itu. Selepas kejadian, Siti Norbaiti mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak-anaknya.
Sehingga hari ini, setiap kali kisah penculikan itu kembali diperkatakan atau tular di media sosial, dia masih dibayangi mimpi buruk.
“Trauma itu masih ada. Bila orang bercakap semula mengenai kes ini atau ia tular di media sosial, saya akan teringat semuanya,” kata Mohd Ihtisyamuddin.
Kini pasangan itu mempunyai dua cahaya mata iaitu seorang anak lelaki berusia 12 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun yang pernah menjadi mangsa penculikan tersebut.
Walaupun membesar seperti kanak-kanak lain, anak perempuan mereka sangat sensitif, sukar mempercayai orang lain dan amat berhati-hati terutama dengan lelaki.
Menurut Siti Norbaiti, jika ada ibu atau bapa rakannya ingin menumpangkannya pulang dari sekolah, anaknya akan menghubungi ibu bapanya terlebih dahulu sebelum bersetuju menaiki kenderaan tersebut.
“Itulah cara dia. Dia sangat berhati-hati,” katanya.
Anak mereka juga mengetahui kisah penculikan yang pernah berlaku terhadap dirinya dan sering bertanya mengenai kejadian itu setiap kali berita lama kembali tular.
Malah, pasangan itu masih menyimpan keratan muka depan Sinar Harian yang melaporkan kejadian tersebut sebagai sebahagian daripada sejarah hidup mereka yang sukar dipadamkan.
Walaupun melalui pengalaman yang amat menyakitkan, Mohd Ihtisyamuddin dan Siti Norbaiti mengakui mereka tidak lagi menyimpan dendam terhadap pasangan penculik berkenaan.
Namun, ada satu perkara yang masih meninggalkan rasa terkilan di hati mereka.
Sehingga hari ini, pasangan terbabit mahupun ahli keluarga mereka tidak pernah tampil memohon maaf.
“Sepatah perkataan maaf pun kami tidak pernah dengar daripada mereka. Itulah satu-satunya perkara yang buat kami masih terkilan,” kata Mohd Ihtisyamuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

