Tak balik rumah, adik ditemui meninggal dunia

DUNGUN – Seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap ketam nipah ditemukan meninggal dunia di kawasan paya di Kampung Tebing Tembah, Paka, pada Ahad.
Mangsa, Mohd Afiq Ahmad, 36, dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 10 pagi pada Sabtu untuk mengangkat perangkap ketam nipah di kawasan paya berkenaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Pegawai Bomba Kanan II Irwan Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan selepas pihaknya menerima laporan pada jam 7.21 pagi Ahad.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pencarian di kawasan paya berdasarkan maklumat yang diterima sebelum mangsa ditemukan pada kira-kira jam 10 pagi.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, abang ipar mangsa, Mohd Hafis A. Talib, 47, berkata, Mohd Afiq yang menetap di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus datang ke rumahnya di Kampung Tebing Tembah kira-kira tiga minggu lalu bersama ibunya.
Beliau berkata, mangsa sering keluar menangkap ketam nipah di kawasan paya yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah bagi mengisi masa lapang.
Menurut Mohd Hafis, beliau membuat laporan polis pada jam 11 malam Sabtu selepas adik iparnya itu tidak pulang ke rumah kerana bimbang akan keselamatannya memandangkan mangsa mempunyai penyakit sawan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
