'Hati-hati semua, harimau kumbang muncul tepi jalan'

SHAH ALAM - Pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang melalui kawasan berhampiran Tasik Kenyir, Terengganu dinasihatkan supaya berhati-hati susulan kemunculan seekor harimau kumbang pada malam Sabtu.
Kejadian tersebut tular selepas seorang pengguna Facebook, Mohd Amirul, memuat naik rakaman video yang dipercayai dirakam kira-kira jam 8.06 malam di Lebuh Raya Timur-Barat Kedua, berhampiran sebuah stesen minyak di Tasik Kenyir.
Menerusi rakaman itu, haiwan liar berkenaan dilihat berada di bahu jalan sebelum kembali memasuki kawasan hutan.
"Bahaya jika motosikal lalu di Jalan Gawi, betul-betul berhadapan stesen minyak. Hati-hati semua bila melalui kawasan ini," katanya.
Dalam masa sama, pemilik video berkenaan dilihat cuba menghalau harimau kumbang berkenaan supaya kembali ke habitat asalnya bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan berkenaan memandangkan ia berhampiran habitat hidupan liar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
