BUDI Diesel seragam seluruh negara lebih adil, kurangkan ketirisan subsidi

SHAH ALAM - Pelaksanaan BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) yang diseragamkan di seluruh negara dilihat sebagai satu langkah yang adil, mudah difahami dan mampu mengurangkan ketirisan subsidi.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff, pelaksanaan BUDI Diesel pada kadar RM2.10 seliter memanfaatkan pengguna kenderaan persendirian yang kebanyakannya menjalankan aktiviti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pengangkutan, pertanian, penternakan dan sebagainya.
Jelasnya, ia sedikit sebanyak membantu golongan berkenaan menjalankan perniagaan masing-masing tanpa terlalu membimbangkan harga bahan api diesel yang tidak menentu.
"Kami amat menyambut baik mekanisme ini kerana sistem sebelumnya kami rasa agak menyusahkan.
"Jadi, kepada semua peniaga yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan kononnya disebabkan kenaikan harga diesel, saya minta untuk tidak berbuat demikian.
"Persatuan berharap mekanisme baharu ini dibuat secara berhati-hati kerana kita tidak mahu ada isu kecurian diesel.
"Penguatkuasaan juga mesti dibuat dengan lebih ketat dan diminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengaudit stesen-stesen minyak yang membenarkan individu membeli diesel melebihi kuota 200 liter," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
