Baru hari pertama bekerja, kelindan lori ais ditahan positif dadah

BALING – Seorang kelindan lori ais yang baru memulakan tugas pada hari pertama bekerja antara empat individu yang ditahan dalam Ops Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan di Jalan Kuala Ketil, di sini, pada Khamis selepas saringan awal mendapati mereka positif methamphetamine.
Lelaki berusia 33 tahun itu mendakwa baru sehari bekerja dengan sebuah syarikat ais selepas berhenti daripada syarikat majikan lamanya yang turut menjalankan perniagaan sama
Dia antara yang ditahan dalam operasi yang dijalankan secara bersama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia serta PLUS Malaysia Berhad.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, selain lelaki itu, tiga lagi individu turut ditahan selepas saringan awal mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, mereka terdiri daripada seorang lagi kelindan lori ais berusia 33 tahun serta dua pemandu van kilang masing-masing berusia 32 dan 40 tahun.
“Kesemua mereka memberikan alasan mengambil dadah bagi menambah tenaga dan membolehkan mereka terus bekerja.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 31 Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguat Kuasa JPJ Kuala Ketil, di sini.

Beliau berkata, seorang lagi kelindan lori turut diserahkan kepada polis selepas didapati memiliki dadah dan ditahan mengikut Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, operasi itu merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan bebas daripada penyalahgunaan dadah, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Pemandu kenderaan perdagangan memikul tanggungjawab besar kerana mereka membawa penumpang atau mengendalikan kenderaan berat yang boleh mengundang risiko kemalangan sekiranya dipandu oleh individu di bawah pengaruh dadah.
“Objektif utama operasi ini adalah untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang mengambil dadah selain memastikan pematuhan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Beliau berkata, antara tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan termasuk pemeriksaan saringan air kencing oleh AADK, pemeriksaan dokumen serta lesen memandu, dan penahanan pemandu yang didapati melakukan kesalahan.
Katanya, sekiranya seseorang pemandu didapati positif dadah, tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil termasuk penggantungan lesen memandu vokasional seperti Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) sehingga siasatan selesai.
“Tindakan lanjut akan diambil berdasarkan keputusan rasmi AADK serta peruntukan di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 550 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan dengan 83 kenderaan dikenakan tindakan, manakala 45 individu menjalani saringan dadah.
“Daripada jumlah itu, enam individu didapati positif dadah. Empat daripadanya ditahan pada Khamis, manakala dua lagi ditahan dalam operasi yang dijalankan pada Rabu di Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar, dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun.
“Kedua-dua mereka merupakan pemandu lori yang turut didapati positif methamphetamine,” tambahnya..
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

