Bapa jemput anak pulang kerja, 'perjalanan terakhir' dua beranak dihempap kontena

Kontena berkenaan kemudian menghempap MPV yang dinaiki dua beranak itu sehingga menyebabkan kedua-duanya tersepit di dalam kenderaan.
Kontena berkenaan kemudian menghempap MPV yang dinaiki dua beranak itu sehingga menyebabkan kedua-duanya tersepit di dalam kenderaan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Siapa sangka perjalanan biasa yang dilalui seorang bapa setiap hari untuk menjemput anak perempuannya pulang dari tempat kerja menjadi perjalanan terakhir apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki dua beranak itu dihempap kontena.

Difahamkan, Norfaieza Mohd Jadi, 24, yang bekerja di sebuah kedai perabot, dijemput bapanya, Mohd Jadi Pelbi, 53, sebelum kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Kuala Baru, Sepanggar.

Selain bekerja di kedai perabot, Norfaieza juga difahamkan meluangkan masa mengajar mengaji selepas selesai bekerja.

Namun, perjalanan mereka bertukar tragedi apabila sebuah treler yang sedang menjalankan kerja mengangkat kontena di tepi Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay dipercayai hilang keseimbangan lalu terbalik bersama muatannya.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki dua beranak itu dihempap kontena.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki dua beranak itu dihempap kontena.

Kontena berkenaan kemudian menghempap MPV yang dinaiki dua beranak itu sehingga menyebabkan kedua-duanya tersepit di dalam kenderaan.

Usaha menyelamat dilakukan pasukan bomba, namun keadaan kontena yang menghempap kenderaan berkenaan memerlukan bantuan kren bagi membolehkan kedua-dua mangsa dikeluarkan.

Selepas kira-kira tiga jam terperangkap, dua kren tiba di lokasi kira-kira jam 9.21 malam sebelum kerja mengangkat kontena dilakukan bagi membolehkan pasukan bomba mengeluarkan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Paling meruntun hati, orang ramai yang berada di lokasi turut berganding bahu cuba membantu menarik keluar kenderaan yang remuk dan terhimpit sebaik sahaja kontena berjaya diangkat.

Bagaimanapun, usaha menyelamat itu berakhir dengan khabar duka apabila kedua-dua beranak berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, susulan kejadian itu pihaknya menahan pemandu lori terbabit dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

"Pemandu lori berusia 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!