Congo hampir hantar England pulang

Pengadil Adham Makhadmeh tidak memberikan sepakan penalti kepada England selepas Harry Kane dijatuhkan pada penghujung babak pertama. Foto: Agensi
Pengadil Adham Makhadmeh tidak memberikan sepakan penalti kepada England selepas Harry Kane dijatuhkan pada penghujung babak pertama. Foto: Agensi
A
A
A

REPUBLIK Demokratik Congo hanya memerlukan kira-kira 15 minit lagi untuk melakar antara kejutan terbesar Piala Dunia sebelum Harry Kane muncul memusnahkan impian itu.

Kapten England itu meledak dua gol pada babak kedua untuk menghidupkan semula kempen Three Lions menerusi kemenangan dramatik 2-1 ke atas Congo pada pusingan 32 terbaik, sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan 16 bertemu tuan rumah bersama, Mexico.

Lebih mencemaskan, England hampir menjadi mangsa satu lagi keputusan memalukan selepas Brian Cipenga meletakkan Congo di depan seawal minit ketujuh menerusi rembatan rendah yang menewaskan Jordan Pickford.

Ketinggalan hampir sepanjang perlawanan, England buntu mencari jalan menembusi benteng lawan yang diketuai penjaga gol cemerlang, Lionel Mpasi.

Mpasi beraksi luar biasa apabila beberapa kali menafikan percubaan Jude Bellingham, selain menggagalkan rembatan kencang Kane pada babak pertama.

England turut kecewa apabila rayuan mereka untuk mendapatkan sepakan penalti selepas Kane bertembung dengan Mpasi tidak dipedulikan pengadil.

Congo hampir menggandakan kelebihan menerusi Yoane Wissa, namun percubaannya hanya singgah di tiang ketika England semakin dihimpit tekanan.

Tatkala kejutan besar seakan-akan menjadi kenyataan, Kane akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-75 apabila menanduk masuk hantaran lintang pemain gantian, Anthony Gordon.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman England itu kemudian memastikan kemenangan berpihak kepada Three Lions menerusi rembatan padu pada minit ke-86 yang gagal diselamatkan Mpasi.

Artikel Berkaitan:

"Ia mengenai terus berjuang sehingga peluang itu hadir. Kami percaya akan ada seseorang yang muncul sebagai wira dan hari ini giliran saya," kata Kane yang kini mengumpul lima gol pada kejohanan kali ini.

Beliau turut melebarkan rekod sebagai penjaring terbanyak England dalam kejohanan utama dengan 13 gol, selain mengumpul keseluruhan 84 jaringan bersama skuad kebangsaan.

Kemenangan itu turut menyaksikan England mencipta hanya kemenangan kedua dalam sejarah Piala Dunia selepas bangkit daripada ketinggalan, sejak kejayaan menewaskan Jerman Barat pada final 1966.

Pengendali Three Lions, Thomas Tuchel memuji semangat juang anak buahnya yang enggan mengaku kalah walaupun tertekan hampir sepanjang perlawanan.

"Saya melihat pemain kekal tenang dan percaya kepada kemampuan sendiri. Mereka tidak pernah menerima kekalahan sebagai pengakhiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!