Apa gunanya ada VAR di Piala Dunia?

Insiden Nicolas Pepe dijatuhkan dalam kotak penalti namun tidak dirujuk kepada VAR. Foto: Agensi
Insiden Nicolas Pepe dijatuhkan dalam kotak penalti namun tidak dirujuk kepada VAR. Foto: Agensi
A
A
A

LEGENDA Chelsea, Didier Drogba melancarkan kritikan pedas terhadap penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas mendakwa Ivory Coast dinafikan sepakan penalti yang boleh mengubah nasib mereka ketika tewas 1-2 kepada Norway dalam aksi Pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026.

Menurut Drogba, insiden membabitkan Nicolas Pepe yang dipercayai dijatuhkan dalam kotak penalti pada babak kedua sepatutnya diberikan sepakan penalti, namun pengadil memilih untuk meneruskan permainan tanpa campur tangan VAR.

“Memalukan. Penalti ke atas Nicolas Pepe langsung tidak diberikan... apa gunanya VAR?” tulis Drogba menerusi akaun X miliknya.

Keputusan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong apabila Ivory Coast ketika itu sedang menguasai permainan selepas bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Amad Diallo.

Kemarahan kem Ivory Coast bertambah apabila Erling Haaland muncul wira Norway dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-86, sekali gus mengesahkan kemenangan 2-1 dan tiket ke pusingan 16.

Insiden membabitkan Pepe itu menjadi antara kontroversi terbesar setakat saingan kalah mati Piala Dunia 2026, dengan ramai mempersoalkan mengapa VAR tidak mengarahkan pengadil menilai semula situasi berkenaan.

Walaupun langkah mereka terhenti di pusingan 32, Ivory Coast tetap meninggalkan kejohanan dengan reputasi yang meningkat selepas mempamerkan aksi bertenaga sepanjang kempen, namun persoalan mengenai keputusan VAR itu dijangka terus menjadi topik hangat selepas penyingkiran mereka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!