X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Nasi Berlauk Kak Chik mula dijual esok

Che Abdullah (dua dari kanan) mendengar keluhan daripada Che Haliman berkaitan perniagaan yang dialaminya sepanjang PKP.
A
A

TUMPAT - Seorang pengusaha Nasi Berlauk Kak Chik di sini yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nekad memulakan semula perniagaannya bermula esok.

Che Halimah Che Ahmad, 63, berkata, sebelum ini dia menjual 13,000 bungkus nasi sehari dan keputusan itu dibuat bagi memastikan seramai 63 orang pekerjanya dapat meneruskan kelangsungan hidup sepanjang PKP memandangkan kebanyakan daripada mereka menjadikan upah bekerja dengannya sebagai punca pendapatan utama keluarga.

Dia yang mengusahakan perniagaan nasi berlauk gulai ayam dan juga ikan tongkol sejak tahun 2015 di Kampung Berangan, Tumpat tersohor di negeri ini dan luar negeri.

Che Halimah atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Chik itu berkata, dia juga bersimpati dengan keadaan pekerjanya dan mengambil inisiatif mengeluarkan sedikit belanja bagi menampung perbelanjaan harian.

“Pekerja memang bergantung dengan gaji harian sekitar RM60 hingga RM80 sehari. Apabila kita tutup, mereka terputus wang belanja harian. Memang sangat terkesan sejak PKP.

“Namun demi keselamatan semua, saya mengambil keputusan untuk menghentikan operasi dan kebanyakan ejen juga tidak berani datang mengambil nasi kerana akur dengan arahan kerajaan dan kena lalui banyak sekatan jalan,” katanya kepada media ditemui di rumahnya di sini semalam.

Sebelum itu Che Halimah menerima kunjungan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi di rumahnya di sini.

Katanya, dia akan mula menjual sebanyak 5,000 bungkus dahulu bermula esok dan akan melihat kepada penerimaan ramai serta kekuatan 50 ejennya.

“Kita dapat banyak permintaan, tetapi tidak berani untuk memulakan perniagaan lagi sebelum ini kerana bimbang berlaku perkara di luar kawalan yang menyebabkan orang ramai berkumpul.

“Insya-ALLAH bermula esok, kami akan menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk mengawal keadaan supaya mematuhi arahan kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) terutama penjarakkan sosial,” katanya.

Selain bergantung kepada ejen sedia ada, Che Halimah juga berusaha untuk kembangkan lagi jualan secara dalam talian yang sekurang-kurangnya dapat menampung rezeki ramai pihak.

Dalam pada itu, Che Halimah berkata, sepanjang Ramadan yang bakal tiba, juga dia berhasrat untuk menjual lauk pauk sahaja.

Sementara itu, Che Abdullah turut menasihatkan supaya Che Halimah supaya memanfaatkan pemasaran dalam talian selain mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan sepanjang PKP.

Bagi beliau, satu kerugian sekiranya perniagaan tersebut tidak dapat diteruskan kerana telah mendapat permintaan tinggi dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh penggemarnya di dalam dan luar Kelantan.

“Semua peniaga sekarang ini perlu kreatif. Dalam masa sekarang ini kita melihat pemasaran dalam talian sedang berlaku dan Covid-19 ini telah menjadikan urusan tersebut semakin pantas untuk dimanfaatkan peniaga-peniaga,” katanya.

Keterangan gambar


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus