Paraguay singkir Jerman

PARAGUAY mencipta antara kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila menyingkirkan juara empat kali, Jerman menerusi penentuan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 pada Selasa.
Kemenangan bersejarah itu menyaksikan Paraguay yang hanya menghuni ranking ke-41 dunia, menamatkan kempen Jerman sekali gus mencipta antara keputusan paling mengejutkan dalam sejarah kejohanan.
Jerman yang berada di ranking ke-10 dunia, dikejutkan dengan jaringan Julio Enciso pada minit ke-42 sebelum Kai Havertz menyamakan kedudukan lapan minit selepas babak kedua bersambung.
Skuad kendalian Jerman hampir memperoleh gol kemenangan menerusi situasi sepakan penjuru, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kekasaran terhadap penjaga gol Paraguay.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan, memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Havertz yang mengambil sepakan pertama gagal menyempurnakan tugasnya, manakala Jerman turut mensia-siakan dua lagi sepakan ketika Paraguay akhirnya muncul pemenang dengan keputusan 4-3, walaupun turut gagal menyempurnakan dua sepakan.
Kekalahan itu turut menyaksikan Jerman tewas dalam penentuan penalti buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.
Ia juga meneruskan kemerosotan prestasi gergasi Eropah itu yang masih gagal mara jauh dalam saingan kalah mati sejak muncul juara dunia pada edisi 2014.
Kejayaan Paraguay dianggap mengatasi kemenangan Bulgaria ke atas juara bertahan Jerman pada suku akhir Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat yang sebelum ini sering dianggap antara kejutan paling besar dalam sejarah kejohanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
