Robot 'Makcik Kiah 19' kurangkan pendedahan Covid-19

 Pengarah HCTM, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (depan, tengah) dan petugas hospital bersama prototaip robot MCK19.
Pengarah HCTM, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (depan, tengah) dan petugas hospital bersama prototaip robot MCK19.
A
A
A

CHERAS – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menggunakan robot bagi mengurangkan pendedahan petugas barisan hadapan kesihatan untuk memberikan khidmat kepada pesakit koronavirus (Covid-19).

Prototaip robot itu dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF), adalah robot penghantaran pertama buatan Malaysia.

Ia diberi nama dengan jolokan Makcik Kiah 19 (MCK19) iaitu Key InnovationsAssisting Healthcare (KIAH), diinspirasikan daripada ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, universiti itu menyambut baik kolaborasi daripada UTM dan DF atas kejayaan pembangunan projek tersebut.

"UKM turut berterima kasih di atas sokongan padu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) terutamanya bagi fasa percubaan ini," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Prototaip robot MCK19
Prototaip robot MCK19

Sebagai permulaan, sistem automasi itu dirancang untuk menggantikan petugas mengedarkan sajian makanan bagi pesakit yang dikuarantin tetapi dalam kategori 1 dan 2 iaitu yang dikesan positif Covid-19 tetapi mereka dalam keadaan sihat atau bergejala ringan.

Difahamkan, inovasi tersebut telah menarik minat Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir yang telah berkunjung ke HCTM pada 10 April yang lalu bagi melihat sesi demonstrasi prototaip teknologi robotik tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah HCTM, Profesor Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid berkata, penggunaan robot dan inovasi baharu menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dalam memerangi serta merawat pesakit Covid-19 dapat mengurangkan risiko kepada petugas perubatan dan membuka ruang kepada inovasi yang canggih di masa akan datang.

“Kami ada perancangan untuk menghasilkan robot yang boleh mengambil suhu badan dan tekanan darah serta melakukan sanitasi nyahvirus di dalam wad pada masa akan datang,” katanya.