KPM akan tambah guru pendidikan khas

Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Yasmin Hussain melihat adik Muhammad Afiq Darwish Mohd Adnan yang cacat penglihatan mengendalikan mesin braille semasa melakukan lawatan sempena 'Penanda Aras Pelaksanaan Zero Reject Policy' bagi murid berkeperluan khas 2019 di SMK Putrajaya Presint 18(1). Turut sama Pengetua SMK Presint 18 (1), Datin Haliza Hussin (kanan). - Foto Bernama
Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Yasmin Hussain melihat adik Muhammad Afiq Darwish Mohd Adnan yang cacat penglihatan mengendalikan mesin braille semasa melakukan lawatan sempena 'Penanda Aras Pelaksanaan Zero Reject Policy' bagi murid berkeperluan khas 2019 di SMK Putrajaya Presint 18(1). Turut sama Pengetua SMK Presint 18 (1), Datin Haliza Hussin (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan menambah bilangan guru pendidikan khas di sekolah-sekolah yang terlibat bagi memenuhi keperluan pelaksanaan 'Zero Reject Policy' untuk murid berkeperluan khas.

Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Datuk Dr Yasmin Hussain berkata kementerian akan mengenal pasti guru-guru berkelayakan dalam masa tiga bulan untuk menempatkan mereka di sekolah-sekolah yang berkenaan.

Setakat ini, katanya sejumlah 15,218 guru pendidikan khas sedang berkhidmat di kira-kira 8,579 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang menawarkan pendidikan khas.

"Sebelum ini, kebanyakan guru-guru yang mempunyai kemahiran dalam pendidikan ditempatkan di sekolah aliran perdana dan kita kini sedang mengenal pasti mereka untuk menempatkan semula mereka di aliran yang sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas melakukan Lawatan Penanda Aras Pelaksanaan Zero Reject Policy Bagi Murid Berkeperluan Khas 2019 di SMK Putrajaya Presint 18 (1) hari ini.

Zero Reject Policy dilaksanakan bagi memastikan murid berkeperluan khas menerima pendidikan yang selari dengan ketidakupayaan mereka sama ada ke sekolah arus perdana melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Inklusif atau ke Sekolah Pendidikan Khas.

"Kita mengakui ada beberapa negeri yang tidak mempunyai guru pendidikan khas yang mencukupi dan terdapat juga isu lain yang diselesaikan pihak kementerian untuk melaksanakan polisi," kata Yasmin.

Beliau berkata kementerian juga sedang meneliti keperluan lain termasuk penambahan fasiliti yang sesuai untuk murid kelainan upaya (OKU) bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran golongan itu.

Susulan pelaksanaan Zero Reject Policy itu, katanya kementerian telah menerima pertambahan pendaftaran murid pada tahun ini iaitu lebih 3,000 orang kepada kira-kira 87,000 murid setakat ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: