Tanah berasid ganggu pengeluaran padi

Ferdaus (empat, kiri) menerangkan manfaat baja keluaran syarikatnya kepada Mozamir (tiga, kanan) selepas taklimat hari ini.
A
A

KOTA BHARU- Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) mendapati masalah tanah terlalu berasid antara faktor mengganggu pengeluaran padi yang banyak di kawasan seliaannya.

Pengarahnya, Mozamir Hussein berkata, perkara tersebut perlu diatasi segera menerusi transformasi teknologi baja bagi menyelesaikan kekurangan hasil di seluas 13,553 hektar kawasan penanam yang digunakan sebelum ini.

Menurutnya, setakat ini proses pengapuran tanah dibuat seluas 1,400 hektar dan keluasan tersebut tidak mencukupi untuk menampung permintaan bekalan beras.

“Kita dapati di kawasan tertentu hanya mampu mengeluarkan dua tan padi untuk satu hektar tanah bagi sekali tuaian. Jika dibandingkan dengan negeri lain jumlah hasil kita sangat rendah.

“Jadi bermula tahun ini kita akan menggunakan baja berteknologi tinggi Super Zeolite Zebra dari Johor untuk membantu petani-petani,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri taklimat teknologi baja daripada Ketua Pegawai Eksekutif SD Logistic and Trading, Datuk Ferdaus Kayau di Panji.

Sementara itu, Ferdaus berkata, baja berkenaan dapat meneutralkan bahan kimia di dalam tanah yang seterusnya boleh membantu meningkatkan pengeluaran padi dan juga pelbagai tanaman lain.