Derma darah dapat sumbangan keperluan harian

Siti Rokiah menyerahkan beras kepada Taufik sebagai penghargaan selepas menderma darah.
Siti Rokiah menyerahkan beras kepada Taufik sebagai penghargaan selepas menderma darah.
A
A
A

TUMPAT - Seorang ibu tunggal bersama sembilan anaknya mengambil inisiatif tersendiri membantu petugas barisan hadapan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Siti Rokiah Mohamed, 63, bersama anak-anaknya mengumpulkan dana sesama mereka membeli barang keperluan seperti beras, telur dan bihun untuk diberikan kepada penderma darah melalui program derma darah yang dianjurkannya bersama Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Siti Rokiah yang juga pesara guru berkata, dia merancang mengadakan program derma darah sejak tahun lalu tetapi terpaksa ditunda berikutan Covid-19, namun dia dihubungi semula oleh pihak hospital memaklumkan mereka memerlukan bekalan darah.

"Jadi disebabkan keadaan semasa ini, kami anak-beranak berpakat kumpul duit sendiri untuk beli barangan dapur dan diberikan kepada yang hadir nanti.

“Kita pun terpanggil untuk berbakti kepada negara, kita sendiri boleh melihat bagaimana kegigihan barisan petugas hadapan bekerja. Inilah yang kami mampu buat untuk sama-sama membantu di musim Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui Dewan Mak di sini.

Siti Rokiah berkata, dia menjangkakan lebih 50 pek darah berjaya diperoleh sepanjang hari ini memandangkan program itu mendapat sambutan daripada penduduk Pasir Pekan dan luar dari Tumpat.

Katanya, barangan tersebut bukan sahaja diberikan kepada individu yang menderma darah tetapi turut disumbangkan kepada yang tidak melepasi saringan awal.

Program bermula jam 10 pagi itu dikawal ketat supaya semua yang hadir mematuhi penjarakkan sosial dan juga perlu melakukan saringan awal dengan pemeriksaan suhu badan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penderma tegar, Taufik Talib, 49, berkata, dia yang datang dari Pasir Mas bukan menyertai program tersebut kerana mahukan sumbangan, sebaliknya dia yang sudah 44 kali menderma itu melakukannya kerana 'ketagih', selain terpanggil bagi sama-sama menyumbang ketika negara berdepan wabak Covid-19 ini.

“Saya faham yang jumlah darah dalam simpanan perlu sentiasa cukup apatah lagi ketika musim Covid-19 ini. Hadiah (sumbangan) yang diberikan bukanlah alasan saya datang tetapi kerana setitik darah, saya mampu menyelamatkan orang lain,” katanya.

Seorang penderma kali pertama, Mohd Rawi Ayub, 47, pula berkata, dia memuji usaha dilakukan keluarga pesara guru tersebut dalam keadaan negara ini mengharungi ujian mengekang penularan Covid-19.

“Saya juga datang ke sini bukan kerana beras yang diberikan tetapi demi tanggungjawab saya sebagai seorang yang mampu menderma darah.

“Usaha keluarga ini bukan sahaja membantu negara tetapi keluarga ini dapat menolong penduduk dengan sumbangan yang diberikan ini,” katanya.