Konsep kemunasabahan dalam membendung Covid-19

Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dikawal ketat pasukan keselamatan akibat wabak Covid-19. - Foto Bernama
Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dikawal ketat pasukan keselamatan akibat wabak Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

TERDAPAT lapan elemen utama dalam good governance atau tadbir urus yang baik. Dalam rencana ini, hanya tiga elemen disebutkan iaitu 'transparency' (ketelusan), 'public engagement' (penyertaan awam) dan 'accountable' (kebertanggungjawaban).

'Good governance' mengkehendaki sistem pentadbiran itu bukan hanya mesti telus (tidak ada perkara yang dirahsiakan atau disembunyikan daripada pengetahuan awam), bahkan setiap keputusan hendak dibuat mestilah terlebih dahulu mendapatkan pandangan orang awam terutama golongan yang akan terkesan atau terjejas keputusan itu.

Dari sudut Islam, prinsip ini dipanggil musyawarah atau syura, yang dalilnya terdapat dalam al-Quran dan sunnah.

Apa yang jarang kedengaran ialah 'good governance' juga mengkehendaki kita menjauhi atau mengelak daripada berlakunya ketidakmunasabahan (unreasonableness). Dalam 'jurisprudence' Inggeris, prinsip ini dipanggil 'Wednesbury Unreasonableness' (WU).

Ia pertama kali dihuraikan oleh Lord Greene dalam kes Associated Provincial Picture Houses v. Wednesbury Corporation (1947) dan kemudian diperjelaskan oleh Lord Diplock dalam kes Council of Civil Service Unions v. Minister for the Civil Service (1983).

Mengikut Lord Diplock, suatu keputusan itu akan disifatkan sebagai tidak munasabah dalam konteks 'Wednesbury Unreasonableness' ini sekiranya keputusan itu tidak logik (tidak masuk akal) atau tidak boleh diterima mengikut standard moraliti seorang yang waras fikiran, yang sekiranya dia memikirkan keputusan itu, dia tidak akan membuatnya seperti itu.

Dalam bahasa mudah, apabila suatu tindakan atau keputusan itu tidak rasional, tidak logik atau tidak masuk akal, ia adalah manifestasi 'Wednesbury Unreasonableness'.

Sebelum 'Wednesbury Unreasonableness' diiktiraf mahkamah, suatu keputusan badan pentadbiran hanya boleh dipersoal di mahkamah menerusi semakan kehakiman sekiranya ia:

Artikel Berkaitan:

- Menyalahi undang-undang

- Menyalahi Perlembagaan;

- Melampaui kuasa (ultra vires);

- Menyalahi prosedur;

- Berniat jahat (mala fide); atau

- Menyalahi keadilan semula jadi (misalnya mendengar sebelah pihak sahaja).

Dalam kes 'Council of Civil Service Unions' itu, 'Lord Diplock' menghuraikan bahawa selain enam sebab di atas tadi, suatu keputusan badan pentadbiran itu boleh juga dipersoal jika ia tidak rasional atau tidak berpadanan (irrational or not proportional).

Jika 'irrationality' bermakna suatu perkara itu tidak akan dilakukan oleh seorang yang waras fikiran, 'proportionality' bermakna badan pentadbiran perlu seimbangkan antara matlamat tindakannya dengan hak rakyat yang akan terkesan dengan keputusannya itu.

Akibat Malaysia dilanda musibah Covid-19, kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020 lalu.

Nama penuh PKP ini ialah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, satu perundangan kecil yang dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, diwartakan pada 18 Mac 2020.

Terdapat enam arahan dalam PKP ini iaitu:

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan dan sosial;

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara;

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta dan institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti lain;

5. Penutupan semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institut latihan kemahiran; dan

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Dalam kenyataan awalnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan (dalam perenggan lima): “Bagi meningkatkan keberkesanan PKP itu, orang ramai dinasihatkan berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.”

Perhatikan bahawa MKN menggunakan istilah “dinasihatkan”, bukan “diperintahkan” atau “diarahkan”. Bagaimanapun, ia menyatakan (dalam perenggan tiga) bahawa “orang ramai diminta mematuhi semua peraturan yang diputuskan pihak berkuasa.”

Pada 21 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa beliau “tidak menolak kemungkinan peringkat ini (nasihat) boleh berubah kepada tindakan lebih tegas.”

Jangan fikirkan PKP ini tidak ada taring, kerana pada 1 April lalu, tiga lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu kerana melanggar PKP.

Tertuduh pertama dan kedua didakwa bergerak dari Pasir Gudang, Johor ke Marang pada 29 Mac lalu manakala tertuduh ketiga didakwa bergerak dari Kampung Tok Dir, Kuala Terengganu ke tempat parkir di Pasar Binjai Rendah pada masa dan tarikh sama.

Melihat kembali kepada enam 'arahan' dalam PKP di atas tadi, saya kira tidak timbul isu kemunasabahan perkara dua hingga lima. Yang mungkin boleh dipersoal adalah “penterjemahan” pihak-pihak tertentu mengenai larangan pertama iaitu larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Perkara 9 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat 'bergerak dengan bebasnya di seluruh Persekutuan'. Perlu diingat bahawa hak ini bukan mutlak, kerana ia tertakluk kepada 'mana-mana undang-undang mengenai keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam, kesihatan awam'.

Akta 1988 dan PKP itu adalah undang-undang kesihatan awam yang dimaksudkan dalam Perkara 9 itu. Oleh itu, tidak syak lagi PKP itu adalah sah, tidak berlawanan dengan Perlembagaan, dan munasabah untuk memelihara kesihatan awam.

Yang menjadi persoalan kini adalah di bawah PKP fasa kedua, ada satu larangan baharu yang mengkehendaki 'hanya satu orang dalam satu kenderaan'.

Larangan ini kini dipersoalkan oleh sesetengah pihak sebagai tidak masuk akal, satu manifestasi 'Wednesbury Unreasonableness.

* Profesor Datuk Salleh Buang ialah Pakar Undang-Undang