Pos Fulfill rakan pertumbuhan PKS

Pos Fulfill tampil sebagai pemangkin pertumbuhan dengan membantu menguruskan operasi logistik di belakang tabir.
Pos Fulfill tampil sebagai pemangkin pertumbuhan dengan membantu menguruskan operasi logistik di belakang tabir.
A
A
A

MAJORITI perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia memiliki produk berkualiti serta berpotensi menembusi pasaran yang luas.

Namun begitu, kebanyakannya masih berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghalang perkembangan ke peringkat lebih jauh.

Antara cabaran paling ketara ialah dari aspek logistik, iaitu pengurusan inventori, pemenuhan pesanan tepat pada masa mengikut standard perkhidmatan yang ditetapkan oleh platform e-dagang, kebolehpercayaan penghantaran sehinggalah kepada capaian pasaran di seluruh negara.

Di sinilah Pos Malaysia menerusi Pos Fulfill tampil sebagai pemangkin pertumbuhan dengan membantu menguruskan operasi logistik di belakang tabir.

Melalui sokongan perkhidmatan pemenuhan yang menyeluruh, PKS dapat memberi tumpuan kepada perkara paling penting bagi mereka iaitu pembangunan jenama, meningkatkan kualiti produk dan pertumbuhan jualan tanpa terbeban dengan urusan logistik harian.

Dengan akses kepada perkhidmatan seperti pergudangan, pemprosesan pesanan (pick-and-pack), pemantauan inventori, integrasi platform e-dagang serta penghantaran last-mile ke seluruh negara, PKS kini mempunyai ruang lebih luas untuk berkembang.

Dalam temu bual bersama Sinar Bisnes baru-baru ini, Ketua Unit Pos Fulfill, Rohit Gunavanthe berkata, banyak perniagaan kecil yang sebelum ini bergerak secara sederhana kini mampu menyertai kempen jualan besar dalam talian, menjual di pelbagai platform marketplace serta meningkatkan pengalaman pelanggan melalui sistem pemenuhan yang lebih pantas dan konsisten.

Pos Fulfill terus menjadi rakan pertumbuhan utama kepada segmen PKS dengan mentransformasikan cabaran logistik pemenuhan kepada kelebihan kompetitif.

“Kami menjadi penghubung penting yang membantu mereka menembusi pasaran lebih besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Unit Pos Fulfill, Rohit Gunavanthe.
Ketua Unit Pos Fulfill, Rohit Gunavanthe.

Menurut Rohit, kehadiran Pos Fulfill juga secara tidak langsung membantu mengubah persepsi lama dalam sektor pembuatan dan perdagangan yang sebelum ini melihat bahawa logistik hanyalah sekadar urusan penghantaran semata-mata.

Hakikatnya, pengurusan logistik merangkumi keseluruhan rantaian operasi daripada pergudangan, proses pemenuhan pesanan seperti pick-and-pack, pemantauan inventori, pengendalian penghantaran kepada rakan logistik, sehinggalah kepada penghantaran akhir kepada pelanggan.

"Semua ini adalah sebahagian daripada rangkaian perkhidmatan Pos Fulfill.

“Kami mungkin tidak melaksanakan semuanya secara langsung. Sebagai contoh, penghantaran last-mile dikendalikan oleh Pos Laju, namun kami menyelaras dan memantau keseluruhan proses supaya pelanggan mempunyai satu sumber rujukan yang jelas,” katanya.

Pendekatan ini membolehkan perniagaan memberi tumpuan kepada kekuatan teras mereka, seterusnya meningkatkan hasil dan mengukuhkan daya saing dalam persekitaran pasaran yang semakin kompetitif.

Lebih menarik, perkhidmatan Pos Fulfill juga membuka peluang kepada usahawan kecil untuk beroperasi setanding dengan syarikat besar tanpa perlu menanggung kos tinggi bagi membina infrastruktur sendiri seperti gudang dan sistem operasi.

Menurut Rohit, memiliki gudang sendiri memerlukan komitmen kewangan yang besar termasuk kos sewaan, tenaga kerja dan sistem yang kadangkala tidak digunakan secara optimum.

"Melalui khidmat rakan pemenuhan, PKS boleh berkembang mengikut permintaan pasaran tanpa perlu menanggung kos tetap yang tinggi atau berdepan dengan bebanan pengurusan operasi secara dalaman.

“Apa yang kami tawarkan adalah model fleksibel pay-per-use di mana PKS hanya membayar mengikut penggunaan, sambil menikmati tahap kecekapan, skalabiliti dan profesionalisme setanding syarikat multinasional,” katanya.

Dalam pada itu, seiring dengan penambahbaikan akses logistik menerusi Pos Fulfill, Rohit turut melihat peningkatan tahap keyakinan dalam kalangan PKS untuk meneroka pasaran di Sabah dan Sarawak.

Ini turut disokong oleh pertumbuhan segmen e-dagang di Malaysia Timur yang melonjak lebih 32 peratus sejak pandemik 2020.

Rohit berkata, Pos Fulfill mahu membina ekosistem logistik yang lebih inklusif bagi memastikan PKS di seluruh negara mampu bersaing dalam ekonomi digital.
Rohit berkata, Pos Fulfill mahu membina ekosistem logistik yang lebih inklusif bagi memastikan PKS di seluruh negara mampu bersaing dalam ekonomi digital.

Tambah beliau, melalui rangkaian Pos Fulfill di Malaysia Timur, perniagaan kini dapat menyimpan inventori lebih dekat dengan pelanggan, sekali gus memendekkan tempoh penghantaran dan mengurangkan kos logistik.

"Ini menjadikan pengembangan pasaran ke Sabah dan Sarawak jauh lebih praktikal dan berdaya maju dari segi komersial. Bukan itu sahaja, Pos Fulfill turut membolehkan perniagaan di Malaysia Timur menembusi pasaran Semenanjung Malaysia dengan lebih efisien.

“Hasilnya, semakin banyak PKS melihat Malaysia Timur bukan lagi sebagai cabaran logistik sebaliknya peluang pertumbuhan yang realistik,” ujarnya.

Pos Fulfill juga berperanan sebagai pemangkin yang membantu merapatkan jurang ekonomi antara usahawan bandar dan luar bandar dengan menyediakan akses lebih meluas kepada infrastruktur logistik dan jaringan pasaran.

Buktinya, Pos Fulfill kini bekerjasama dengan sebuah agensi kerajaan di Malaysia Timur bagi membantu 15 hingga 20 PKS membekalkan produk mereka ke rangkaian pasar raya besar di Semenanjung Malaysia.

"Sebelum ini, kebanyakan PKS tersebut mungkin tidak pernah mempunyai akses kepada rangkaian pasar raya berskala besar seperti itu.

“Namun kini, melalui sokongan logistik yang menyeluruh daripada Pos Fulfill, kami dapat membantu PKS di Malaysia Timur membekalkan produk mereka mengikut tempoh yang dijanjikan dan kuantiti pesanan yang lengkap (on-time in full) kepada rangkaian peruncit besar di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Bukan sekadar fungsi operasi

Rohit turut berkata, perkhidmatan pemenuhan pada hari ini tidak lagi dilihat sekadar fungsi operasi. Sebaliknya, ia menjadi sebahagian komponen penting daripada keseluruhan pengalaman pelanggan dan persepsi terhadap jenama.

"Walaupun produk berkualiti dan penjenamaan berkesan membantu menarik pelanggan, pengalaman pemenuhan sering menentukan sama ada pelanggan akan kembali kepada jenama tersebut atau tidak.

“Malah, produk terbaik dan kempen pemasaran yang hebat juga boleh terjejas akibat pengurusan inventori yang lemah, penghantaran lewat atau tahap perkhidmatan yang tidak konsisten,” katanya.

Pos Fulfill terus menjadi rakan pertumbuhan utama kepada segmen PKS dengan mentransformasikan cabaran logistik pemenuhan kepada kelebihan kompetitif.
Pos Fulfill terus menjadi rakan pertumbuhan utama kepada segmen PKS dengan mentransformasikan cabaran logistik pemenuhan kepada kelebihan kompetitif.

Ujarnya lagi, pengguna hari ini mengharapkan penghantaran pantas, pemenuhan pesanan yang tepat, penjejakan masa nyata dan pengalaman selepas pembelian yang lancar.

Sehubungan itu, Rohit berkata, kelajuan penghantaran memberi impak besar terhadap kepercayaan pengguna, khususnya dalam sektor e-dagang, di mana pemenuhan pesanan yang pantas dan konsisten sering dikaitkan dengan tahap profesionalisme serta kredibiliti jenama.

Menurut beliau, bagi majoriti pengguna, pengalaman penghantaran adalah sebahagian daripada identiti jenama itu sendiri.

“Berdasarkan pengalaman kami, pengguna lebih cenderung untuk kekal setia kepada jenama yang menghantar pesanan dalam tempoh yang dijanjikan dan menawarkan pengalaman selepas pembelian yang lancar dan memuaskan,” katanya.

Namun kepantasan penghantaran bukanlah satu-satunya faktor, malah kebolehpercayaan, ketepatan pesanan, status pesanan dan komunikasi yang konsisten juga memainkan peranan penting.

“Pengguna mahu merasa dihargai dan dilayan dengan mesra oleh sesebuah jenama dan pengalaman tersebut akhirnya diterjemahkan kepada kesetiaan pelanggan,” tambahnya.

Justeru, Pos Malaysia dan Pos Fulfill memberi penekanan terhadap pengukuhan tahap perkhidmatan bagi penghantaran last-mile dan juga pemenuhan seperti yang dibuktikan oleh pencapaian Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) mereka.

“Kami merekodkan SLA penghantaran last-mile sebanyak 96.2 peratus bagi penghantaran hari berikutnya di Semenanjung Malaysia manakala SLA pemenuhan pesanan mencatat 99.99 peratus On-time In Full (OTIF),” katanya.

Ditanya bagaimana Pos Fulfill membantu PKS menghadapi lonjakan pesanan ketika musim perayaan atau kempen jualan besar seperti 11.11 dan 12.12, Rohit berkata, Pos Fulfill mempunyai pasukan operasi pemenuhan berpengalaman yang pernah menguruskan operasi B2B dan B2C yang kompleks untuk jenama multinasional.

“Kami juga mengamalkan proses pengurusan kempen yang menyeluruh dengan penglibatan aktif pasukan perancangan dan jualan pelanggan. Proses ini bermula sebulan lebih awal dengan memahami sasaran pelanggan serta merangka unjuran jualan.

“Menjelang tarikh kempen, kami akan mengadakan semakan berkala bagi memastikan pelan berjalan lancar dan sebarang perubahan diambil kira dalam perancangan. Pelan ini akan dikongsi dan dipersetujui bersama pelanggan lebih awal, termasuk dari aspek persediaan sumber dan peralatan yang diperlukan,” katanya.

Jelas Rohit, ia merupakan proses yang tersusun dan dirancang lebih awal. Paling penting, pelanggan terlibat pada setiap peringkat, mengetahui pelaksanaan pelan dan sebarang perubahan supaya tiada kejutan berlaku.

Ini juga membantu mengekalkan kualiti perkhidmatan walaupun ketika tempoh puncak.

Pos Fulfill juga membuka peluang kepada usahawan kecil untuk beroperasi tanpa perlu menanggung kos tinggi bagi membina infrastruktur sendiri seperti gudang dan sistem operasi.
Pos Fulfill juga membuka peluang kepada usahawan kecil untuk beroperasi tanpa perlu menanggung kos tinggi bagi membina infrastruktur sendiri seperti gudang dan sistem operasi.

Sementara itu, dalam konteks kempen #SapotLokal, sistem pemenuhan yang cekap membolehkan jenama tempatan bersaing dengan lebih berkesan dengan jenama antarabangsa melalui pengalaman pelanggan yang setanding.

Pengurusan pergudangan yang sistematik, pemantauan inventori yang efisen, pemenuhan pesanan yang tepat dan penghantaran pantas menjadi asas dalam membina kepercayaan serta kepuasan pengguna terhadap jenama tempatan.

“Dengan sokongan menyeluruh daripada Pos Fulfill, perniagaan tempatan boleh berkembang dengan lebih yakin, bertindak balas lebih pantas terhadap permintaan pasaran dan memberi fokus kepada pengukuhan produk serta jenama mereka sambil kekal kompetitif dalam pasaran dalam talian dan luar talian,” katanya.

Melihat ke hadapan, Pos Fulfill menyasarkan untuk membina ekosistem logistik yang lebih inklusif bagi memastikan PKS di seluruh negara mampu bersaing dalam ekonomi digital yang semakin pesat tanpa mengira saiz atau lokasi.

Dengan memanfaatkan infrastruktur bersepadu Pos Malaysia, teknologi pemenuhan yang efisien dan rangkaian logistik yang terus diperkukuh, matlamatnya jelas iaitu untuk mengurangkan halangan yang sering membataskan pertumbuhan PKS.

Pos Fulfill komited untuk memperkasakan perniagaan tempatan melalui keupayaan pemenuhan bertaraf perusahaan supaya mereka boleh berkembang melangkaui pasaran tempatan dan bersaing lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Visi besar kami adalah menjadikan logistik bukan sekadar sokongan operasi tetapi pemacu sebenar kepada pertumbuhan PKS Malaysia. Satu ekosistem yang bukan sahaja menggerakkan perniagaan, tetapi juga memperkukuh keusahawanan dan ekonomi negara secara lebih inklusif,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!