'Dua minit dah penuh lalat'

Antara pelekat lalat yang dipasang bagi menjaga kebersihan warung berikutan masalah serangan lalat yang didakwa berlarutan sejak sekian lama. Foto pembaca
Antara pelekat lalat yang dipasang bagi menjaga kebersihan warung berikutan masalah serangan lalat yang didakwa berlarutan sejak sekian lama. Foto pembaca
A
A
A

MARAN – Penduduk di Rancangan Penempatan Semula Banjir (RPSB) Bukit Kening di sini mendakwa gangguan lalat yang dipercayai berpunca daripada aktiviti ternakan ayam daging berhampiran semakin menjejaskan kehidupan penduduk dan operasi perniagaan di kawasan itu.

Peniaga makanan, Zulkifli Yusuf, 59, berkata, masalah tersebut telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu dan lazimnya berlaku setiap kali ayam dikeluarkan dari ladang untuk dipasarkan.

Menurutnya, kehadiran lalat dalam jumlah yang banyak memaksa peniaga dan penduduk mengambil pelbagai langkah bagi menjaga kebersihan persekitaran.

"Macam saya berniaga di warung... kalau meja tidak dilap dengan air sabun, memang cepat dipenuhi lalat.

Gangguan lalat dan penduduk tempatan mahu pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan segera bagi atasi masalah tersebut. Foto pembaca.
Gangguan lalat dan penduduk tempatan mahu pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan segera bagi atasi masalah tersebut. Foto pembaca.

"Atas meja, tempat letak makanan dan kawasan warung semuanya perlu sentiasa dibersihkan dan bertutup.

"Kalau pasang pelekat lalat pula, kadang-kadang tidak sampai dua minit sudah penuh dan terpaksa diganti dengan yang lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dia sudah berniaga lebih sedekad lalu memberitahu, penggunaan pelekat lalat menjadi rutin harian sehingga terpaksa menggunakan lebih 10 keping sehari bagi mengurangkan gangguan serangga berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, keadaan itu turut memberi kesan kepada imej perniagaannya kerana pelanggan yang tidak mengetahui situasi sebenar mungkin menyangka premis makanan tersebut tidak bersih.

"Saya berniaga makanan dari jam 6.45 pagi hingga sebelum tengah hari dan sambung semula dari jam 3.30 petang hingga 7 malam. Jadi sepanjang tempoh itu memang perlu sentiasa memantau kebersihan warung.

"Kalau orang kampung ini mereka sudah tahu, tapi orang luar yang datang mungkin fikir kedai kotor, sedangkan masalah ini bukan berlaku di warung saya sahaja," luahnya.

Zulkifli turut memaklumkan gangguan sama dikatakan turut dirasai penduduk di Kampung Huma Luas dan kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara yang terletak berhampiran lokasi ternakan ayam.

Menurutnya, jarak sekolah berkenaan dengan kawasan ternakan dianggarkan kira-kira 300 meter.

"Masalah ini bukan hanya melibatkan peniaga, tetapi juga penduduk dan kawasan sekolah berhampiran," luahnya yang berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak memaklumkan ada menerima aduan penduduk di RPSB Bukit Kening dan difahamkan turut terkesan Kampung Huma Luas, SK Sekara dan beberapa kawasan sekitarnya.

Menurutnya, isu tersebut melibatkan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat setempat serta memerlukan perhatian daripada agensi berkaitan.

"Saya akan berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Majlis Daerah Maran (MDM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkaitan bagi menjalankan siasatan serta mencari penyelesaian terbaik.

"Saya juga akan menghantar surat kepada JPV dan PKD supaya pemantauan dapat dilakukan terhadap aktiviti penternakan serta amalan kebersihan di lokasi ternakan ayam terbabit," jelasnya.

Beliau turut menggesa pengusaha ladang ternakan mengambil langkah kawalan yang lebih berkesan bagi mengurangkan pembiakan lalat selain memastikan operasi ternakan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan.

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!