Isu sastera kepuasan sendiri

 Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SASTERA bersifat dinamis, sama juga seperti keintelektualan fungsi dan sifat bahasa yang boleh berubah mengikut peredaran masa. Kedinamisan sastera ini menjadikan sifat dan fungsi sastera lebih mapan dan terus ‘hidup’ dalam perjalanan sejarah peradaban dan ketamadunan manusia.

Pengarang yang baik tidak sewajarnya bergantung kepada bakat dan imaginasi semata-mata dalam pengkaryaan kerana ciptaan karya bersifat sedemikian tidak akan memberikan dampak kepengarangan yang besar kepada khalayak pembaca. Pengarang yang sensitif harus bijak menggabungjalinkan bakat, imaginasi dan realiti kehidupan yang sedang dihadapinya dalam peta kehidupan.

Perubahan genre kepengarangan masa kini daripada naskhah bercetak ke naskhah pelantar digital sewajarnya diambil kira sebagai satu dimensi perubahan dalam gaya penulisan.

Kegemilangan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sebelum berlakunya ‘tsunami politik’ negara menyaksikan banyak penulis yang buku-buku mereka berjaya dicetak dan diterbitkan tidak kiralah dalam genre novel, cerpen mahupun puisi.

Namun, jika ditanyakan secara jujur atau dibuat analisis data konkrit, berapa ramaikah lagi penulis-penulis ini masih bertahan atau masih dikenali khalayak?

Ada penulis yang berjaya diterbitkan buku dan kemudian namanya langsung hilang begitu sahaja ditelan pojok waktu. Realitinya, penulis-penulis yang masih mempunyai sosok dan nama

yang ‘hidup’ kerana mereka terus aktif dalam kegiatan persatuan atau pertubuhan atau memenangi anugerah-anugerah penulisan sama ada di peringkat nasional ataupun negeri.

Setelah ITBM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dikecilkan peranannya dan rumah penerbitan mandiri banyak gulung tikar lantaran bergulat dengan masalah dana dan kerugian, siapakah pula yang bakal menjadi gergasi penerbitan negara? Kelompangan industri ini jika dihalusi sebenarnya memberikan ruang yang lebih adil dan terbuka kepada pemeran yang bergelumang dalam industri perbukuan.

Artikel Berkaitan:

Peter L. Berger dalam bukunya Invitation to Sociology menegaskan bahawa realiti kepengarangan terletak dalam konotasi pendefinisian. Agak kabur (brakilogi) namun sebenarnya yang beliau ingin jelaskan bahawa realiti itu sebenarnya bergantung kepada siapa dan bagaimana mentafsir dan memberi maknanya.

Realiti yang akan menentukan konsep budaya semasa dan ciri-ciri kerana teori budaya melihat tumpuan tentang pandangan dunia atau pandangan hidup berkaitan pendefinisiannya. Maka ranah industri penerbitan dan perbukuan juga sewajarnya dilihat dalam konteks sebegini. Kelompok penulis sendiri harus tahu membaca iklim industri dan menyesuaikan diri untuk terus hidup dan bernafas.

Era pendigitalan karya menyaksikan media sosial menjadi wahana utama kelompok penulis terus mengasah dan menajamkan pena. Segelintir rumah penerbitan masih hidup kerana mereka bijak menyesuaikan diri dalam era perubahan iklim industri ini. Begitu juga dengan kemunculan persatuan-persatuan atau pertubuhan kesusasteraan yang mengambil inisiatif menubuhkan rumah penerbitan sendiri untuk kelangsungan perbukuan.

Kejayaan penulisan sering bertitik tolak daripada kesedaran bahawa setiap manusia perlu mencipta dan memberikan makna kepada elemen-elemen dalam kehidupannya. Dalam hal memberikan fragmen makna ini, konsep kebijaksanaan pengarang dan keberanian mengambil risiko adalah satu pertautan kontekstual yang sangat akrab.

Pengecilan diri

Keberanian individu mahupun pertubuhan menjadi jurupanggung rumah penerbitan mandiri amat rapat untuk dikaitkan dengan aliran eksistensialisme. Aliran ini menuntut manusia menyedari fungsi kewujudannya dan keluar daripada kepompong pengecilan diri yang seolah-olah penjara yang menghukum ketidakyakinan diri. Idealisme kepengarangan yang diperkenalkan Soren Aabye Kierkegaard (1813-1855) dan diperluaskan oleh Friedrich Wilhelm Nietzsche (1844- 1990) dan Jean-Paul Sartre (1905- 1980) ini amat berhubung rapat dengan sifat humanis dalam oknum kepengarangan manusia.

Keberanian inilah yang sebenarnya melahirkan banyak penulis dari ke hari di media sosial. Kerancakan pelaksanaan bengkel dan sesi bimbingan untuk menghasilkan buku secara mandiri menjadi gaya sohor industri. Perkembangan ini cukup positif apatah lagi negara kita berada di ambang pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Mungkin ramai yang terlupa, dalam keghairahan kepengarangan pelantar digital ini siapakah yang memainkan peranan untuk mengawal selia piawaian kualiti bahan-bahan penerbitan berkenaan? Perubahan industri dilihat lebih memberikan ruang dan peluang kepada penulis yang mempunyai kemampuan kewangan untuk menerbitkan buku secara mandiri.

Begitu juga dengan gaya penerbitan swaterbit yang menghimpunkan kelompok penulis untuk menerbitkan karya secara kolaboratif dengan menanggung kos penerbitan bersama-sama. Adakah manuskrip-manuskrip mentah pengkaryaan ini diberikan terlebih dahulu kepada editor-editor yang benar-benar mahir dan bertauliah atau semata-mata dipilih berdasarkan penyertaan yang telah dilunasi pembayaran?

Penilaian dan kritikan karya sememangnya merupakan perkara mahapenting dalam menghasilkan sesebuah karya yang bermutu dan bermaruah. Manuskrip-manuskrip sudah tentu akan dibaca dan disusun oleh penyelenggara atau penyusun tetapi sejauh mana kepakaran dan kewibawaan mereka dalam bidang berkaitan?

Kawalan kualiti pengkaryaan perlu diberikan perhatian serius agar industri penerbitan negara kita tidak terkepung dalam gejala ‘onani sastera’. Gejala yang dilihat lebih mementingkan kepuasan sendiri tanpa mengambil kira aspek kualiti dan pandangan orang ketiga.

Tanggungjawab pengarang bukan sekadar intuisi untuk kepuasan diri sendiri namun mencorakkan dimensi peradaban negara yang lebih kukuh dan bermaruah. Menulis bukan menjadikan pengarang semakin eponim dan ‘besar’ dengan hasil penulisannya tetapi impresionisme yang lebih mendekatkan dengan pencipta kalam.

*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung, Persatuan Penyair Malaysia