Pendekatan inklusif, Dr Sam lulus!

Dr Samsuri pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi. - Foto dari FB Dr Samsuri. Gambar kecil: Dr Mukhtaruddin
Dr Samsuri pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi. - Foto dari FB Dr Samsuri. Gambar kecil: Dr Mukhtaruddin
A
A
A

KEPUTUSAN Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) malam tadi menjadi antiklimaks kepada pihak yang menjangkakan gabungan itu akan berpecah menjelang pilihan raya negeri.

Sebelum mesyuarat berlangsung, pelbagai spekulasi timbul mengenai kedudukan Bersatu, penggunaan lambang PN, pembahagian kerusi serta kemungkinan tercetusnya pertentangan terbuka antara parti komponen. Namun, keputusan yang diumumkan memperlihatkan pendekatan yang lebih tenang, berhati-hati dan tersusun.

Walaupun mesyuarat tersebut pastinya belum menyelesaikan semua perbezaan dalaman, ia berjaya mengelakkan ketegangan daripada bertukar menjadi perpecahan terbuka. Dalam politik gabungan, kejayaan tidak semestinya diukur melalui keputusan besar atau tindakan drastik.

Ada kalanya, keupayaan menurunkan suhu konflik, menangguhkan pertikaian dan membuka ruang perundingan merupakan pencapaian yang lebih penting, khususnya ketika sesebuah gabungan sedang bersiap menghadapi pilihan raya.

Dalam konteks itu, keputusan menerima Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Cinta Malaysia sebagai anggota baharu PN membawa nilai strategik yang besar. Langkah ini menunjukkan bahawa PN tidak memilih untuk mengecilkan gabungan ketika berhadapan ketegangan dalaman.

Sebaliknya, kepimpinan PN membuka ruang kepada parti-parti lain yang mahu bersama-sama membina kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Pendekatan tersebut turut memperlihatkan corak politik inklusif yang semakin ditekankan Pas dalam PN. Walaupun Pas memiliki kekuatan kerusi dan jentera yang lebih besar, parti itu tidak menggunakan kedudukan tersebut untuk menutup pintu kepada pihak lain.

Sebaliknya, Pas dilihat mahu memperluas lingkungan kerjasama supaya PN tidak hanya bergantung kepada dua parti utama. Kemasukan anggota baharu berpotensi menambah jaringan sokongan, memperkayakan pandangan dan memperluas capaian PN kepada kelompok pengundi yang lebih pelbagai.

Pada masa yang sama, keputusan untuk tidak membincangkan kedudukan Bersatu serta penggunaan lambang PN mungkin dianggap sebagai penangguhan terhadap isu penting.

Artikel Berkaitan:

Namun, dari sudut pengurusan konflik, langkah itu boleh dilihat sebagai tindakan taktikal untuk meredakan keadaan. Membincangkan isu sensitif ketika pendirian parti masih keras boleh menghasilkan keputusan bersifat menang-kalah yang sukar dipulihkan.

Penangguhan tersebut memberikan masa kepada semua pihak untuk menyusun strategi, menilai kedudukan dan mencari titik temu yang lebih rasional. Dalam politik, tidak semua masalah perlu diselesaikan dalam satu mesyuarat.

Ada isu yang lebih wajar ditangguhkan sementara sehingga emosi reda, maklumat lengkap diperoleh dan ruang kompromi kembali terbuka. Pendekatan sebegini lebih sesuai bagi gabungan yang mahu mengekalkan kestabilan menjelang pilihan raya.

Perkembangan ini turut mencerminkan perubahan dalam budaya politik Malaysia. Rakyat kini semakin menerima politik gabungan dan semakin kurang cenderung kepada model lama yang meletakkan sebuah parti sebagai “abang besar”, manakala parti-parti lain sekadar mengikut keputusan tanpa ruang perundingan yang bermakna.

Pengundi mahukan gabungan yang lebih seimbang, dengan setiap parti diberikan ruang berdasarkan kekuatan, peranan dan sokongan masing-masing.

Sejarah politik negara pernah menunjukkan bahawa kerjasama dalam sesebuah gabungan boleh bersifat anjal dan tidak semestinya seragam di semua peringkat. Parti Bansa Dayak Sarawak pimpinan Tan Sri Leo Moggie pernah menjadi sekutu Barisan Nasional di peringkat Persekutuan, tetapi pada suatu ketika bertindak sebagai pembangkang di negeri Sarawak.

Pengalaman itu menunjukkan bahawa hubungan politik di peringkat pusat dan negeri boleh diurus secara berbeza apabila keadaan memerlukannya.

Contoh tersebut membuktikan bahawa politik gabungan tidak semestinya dibina melalui satu formula yang terlalu kaku. Sesebuah parti boleh bekerjasama pada satu peringkat dan mengambil pendekatan berbeza pada peringkat lain, asalkan sempadan kerjasama dijelaskan dengan terang.

Dalam konteks PN, prinsip yang sama boleh dipertimbangkan bagi mengurus perbezaan tanpa memaksa semua parti komponen menerima satu pendekatan yang seragam.

Justeru, pendekatan inklusif ini bukan tanda kelemahan Pas, sebaliknya suatu strategi untuk memperkukuh kedudukan PN dalam politik nasional. Pas mungkin menjadi parti terbesar dalam gabungan, tetapi untuk membentuk kerajaan, PN tetap memerlukan kerjasama yang lebih luas.

Kemenangan di peringkat Persekutuan tidak boleh bergantung kepada satu kelompok pengundi atau sebuah parti sahaja. Ia memerlukan sokongan yang merentas wilayah, latar masyarakat dan kecenderungan politik.

Dalam kerangka inilah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar perlu dinilai. Beliau mengambil alih kepimpinan PN ketika hubungan antara parti-parti komponen berada dalam keadaan getir.

Walaupun masih baharu menduduki kerusi Pengerusi PN, beliau berjaya menghasilkan keputusan minimum yang boleh diterima bersama, iaitu membuka keanggotaan kepada parti baharu, meneruskan rundingan kerusi dan menangguhkan isu yang berpotensi mencetuskan konflik lebih besar.

Keupayaannya mengurus mesyuarat tanpa menghasilkan perpecahan terbuka memberikan kredit tambahan kepada Dr Samsuri. Perkembangan ini melengkapi gambaran penerimaan terhadap kepimpinannya yang turut ditunjukkan dalam kaji selidik Merdeka Center dalam kalangan responden Melayu.

Walaupun kajian tersebut bukan ukuran langsung terhadap prestasinya sebagai Pengerusi PN, kadar penolakan yang rendah dan penerimaan bersih yang tinggi menunjukkan bahawa beliau memiliki modal keyakinan yang baik.

Kesimpulannya, mesyuarat semalam belum menamatkan semua masalah PN, tetapi telah memberikan ruang bernafas kepada gabungan itu. Buat masa ini, Dr Samsuri sekali lagi dilihat lulus dalam ujian kepimpinan.

PN pula menunjukkan bahawa politik inklusif, bukannya pendekatan “abang besar”, boleh menjadi asas kepada pembentukan gabungan yang lebih matang, stabil dan berpotensi membentuk kerajaan.

* Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi) Yayasan Strategik Lestari.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!