224 kakitangan KKM dikesan positif Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seramai 224 kakitangannya dikesan positif wabak koronavirus (Covid-19) setakat tengah hari semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan mendapati tiada kes yang berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad Covid-19 atau unit rawatan rapi (ICU) khusus untuk pesakit Covid-19 di fasiliti KKM.

"Daripada 224 anggota KKM yang dikesan positif itu, 150 kes atau 67 peratus adalah berpunca dari komuniti termasuk daripada rakan sekerja yang disebabkan oleh jangkitan di komuniti.

"Sejumlah 41 kes pula mempunyai kaitan dengan pesakit iaitu 29 kes daripada pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI),

sembilan daripada pesakit yang tidak diketahui status sebelum rawatan diberikan, dan tiga kes daripada aktiviti saringan dan lain-lain aktiviti di lapangan.

"33 kes (15 peratus) lagi masih dalam siasatan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini kes Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, KKM sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan anggota kesihatan terutamanya petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam menghadapi pandemik Covid-19 demi kepentingan negara.

"Pelbagai tindakan telah diambil bagi tujuan menjaga keselamatan dan kesihatan anggota termasuk penilaian keperluan dan stok alat pelindung diri di fasiliti bagi memastikan pembekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) sentiasa mencukupi.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, KKM turut memperkukuhkan ‘triaging’ iaitu penilaian dan pengasingan pesakit yang disyaki mempunyai gejala Covid-19 apabila datang ke fasiliti kesihatan serta memberikan mereka alat penutup hidung dan mulut untuk dipakai.

“Semua kes SARI dan jangkitan paru-paru (pneumonia) diklasifikasikan sebagai jangkitan Covid-19 sehingga terbukti sebaliknya, memastikan petugas merawat pesakit positif Covid-19 menggunakan PPE, dan anggota yang merawat pesakit tidak disyaki Covid-19 menggunakan alat penutup hidung dan mulut,” katanya.