Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, pulih daripada penurunan ketara semalam dalam keadaan sentimen pasaran yang masih berhati-hati susulan keputusan dasar terkini Rizab Persekutuan AS (Fed).
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan itu mengukuh kepada 4.1130/1225 berbanding dolar AS daripada 4.1145/1195 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS kekal tinggi pada 100.85 mata selepas keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), dengan pelabur kini memberi tumpuan kepada unjuran kadar faedah Fed.
"Pasaran dilihat memberi perhatian kepada unjuran kakitangan Fed yang menunjukkan bank pusat AS itu berkemungkinan menaikkan kadar dana persekutuan sebanyak 25 mata asas pada akhir tahun ini.
"Bagaimanapun, selera risiko dalam pasaran ekuiti global bertambah baik susulan laporan mengenai perjanjian damai antara AS dan Iran yang berpotensi membuka semula Selat Hormuz,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, perkembangan itu boleh membantu meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak, sekali gus berpotensi menurunkan harga minyak mentah dan mengurangkan tekanan inflasi di peringkat global.
"Secara asasnya, berita itu memberi isyarat tekanan yang lebih rendah kepada bank-bank pusat untuk terus mengetatkan dasar monetari masing-masing. Namun, ketiadaan panduan hala tuju yang jelas dalam kenyataan FOMC menyebabkan pasaran mengambil pendekatan lebih konservatif.
"Ringgit menurun berbanding dolar AS semalam sebanyak 1.29 peratus dan penyusutan itu dilihat agak berlebihan berbanding mata wang serantau yang lain. Ringgit berpotensi kembali stabil hari ini selepas mengalami penyusutan mendadak,” katanya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5504/5564 daripada 2.5588/5620 ketika ditutup semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.7135/7244 daripada 4.7222/7280 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4304/4429 daripada 5.4476/4542 sebelumya.
Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan lebih tinggi secara keseluruhan kecuali berbanding peso Filipina yang hampir tidak berubah pada 6.79/6.81 berbanding 6.79/6.80 semalam.
Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.5435/5801 daripada 12.5611/5809, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 231.1/231.7 daripada 231.2/231.5 serta naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1874/1950 daripada 3.1898/1939 sebelum ini.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
